Reformasi perlu keyakinan guru

LocalPolitics
22 Aug 2026 • 9:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Reformasi perlu keyakinan guru

KESINAMBUNGAN dasar pendidikan wajar diberi perhatian serius ketika negara berdepan perubahan landskap politik.


Dengan beberapa pilihan raya negeri  (PRN) serta pilihan raya umum (PRU) dijangka berlangsung dalam tempoh terdekat, kemungkinan berlaku pertukaran kepimpinan sentiasa terbuka. 

Proses demokrasi perlu dihormati, namun pendidikan sewajarnya kekal sebagai agenda nasional yang merentasi kepentingan politik.

Persoalan utama dalam fikiran guru bukan sekadar siapa yang akan menerajui kementerian selepas pilihan raya. Mereka lebih memerlukan kepastian bahawa dasar yang sedang dipelajari, difahami dan dilaksanakan akan diteruskan secara konsisten. 

Masa, tenaga dan komitmen yang dicurahkan untuk memahami sesuatu pendekatan tidak seharusnya menjadi sia-sia hanya kerana berlaku perubahan pentadbiran.

Kerajaan boleh silih berganti tetapi pendidikan tidak sepatutnya bermula semula setiap kali kepimpinan berubah. 

Murid hanya melalui alam persekolahan sekali dalam hidup mereka. Justeru, mereka berhak mendapat sistem yang stabil, mempunyai hala tuju jelas dan mampu berkembang secara berterusan.

Setiap pentadbiran hadir dengan aspirasi serta inisiatif tersendiri untuk memperkukuh pendidikan. Usaha tersebut sememangnya wajar dihargai. Namun, setiap perubahan membawa tuntutan besar kepada guru sebagai pelaksana utama.

Mereka perlu memahami pendekatan baharu, mengikuti latihan, menyesuaikan dokumentasi, mengubah kaedah pengajaran dan memastikan pelaksanaannya berjalan lancar.

Keadaan menjadi lebih mencabar apabila sesuatu dasar diperkenalkan sebelum pendekatan terdahulu sempat difahami, dilaksanakan secara menyeluruh atau dinilai keberkesanannya. 

Pendidikan ialah pelaburan jangka panjang yang memerlukan kesinambungan, bukannya bidang yang bergerak mengikut rentak politik semasa.

Menjelang pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 (KP2027), beberapa pembaharuan diperkenalkan, termasuk pengajaran bersama serta cadangan kemasukan murid Tahun Satu berdasarkan tahap kesediaan. Inisiatif berkenaan memperlihatkan usaha memastikan sistem pendidikan terus relevan dengan keperluan masa hadapan.

Namun, dasar yang baik tidak akan mencapai matlamat sekiranya sekolah belum bersedia. Pengajaran bersama, misalnya, memerlukan kerjasama profesional, perancangan bersepadu, jadual fleksibel serta bilangan guru mencukupi. 

Perubahan berkaitan kemasukan murid Tahun Satu pula menuntut penelitian terhadap perkembangan kognitif, emosi dan sosial kanak-kanak. Semua ini memerlukan persediaan rapi, bukan sekadar garis panduan.

Atas sebab itu, guru perlu dilibatkan sejak peringkat awal perancangan. Suara mereka dapat membantu pembuat dasar memahami realiti bilik darjah, mengenal pasti kekangan serta menghasilkan pendekatan yang lebih praktikal. 

Dasar yang mengambil kira pengalaman pendidik juga lebih mudah diterima dan dilaksanakan.

Dalam masa sama, tugas guru semakin kompleks. Selain mengajar, mereka mengurus data, melaksanakan program, menyediakan dokumentasi, membimbing murid, menjalankan kegiatan kokurikulum serta berhubung dengan ibu bapa. 

Pertambahan inisiatif tanpa pengurangan beban sedia ada boleh menyebabkan keletihan dan menjejaskan motivasi.

Kesiapsiagaan guru tidak wajar diukur berdasarkan jumlah kursus atau taklimat semata-mata. Yang lebih penting ialah kefahaman terhadap rasional perubahan, keyakinan melaksanakannya dan sokongan profesional yang diterima. 

Reformasi hanya akan berjaya apabila pelaksana percaya terhadap matlamat yang ingin dicapai.

Kesejahteraan guru juga perlu menjadi sebahagian daripada agenda perubahan. Pada masa sama, pendidikan tidak boleh terlalu berpusat pada pencapaian akademik.

Pembentukan sahsiah, nilai murni, adab dan kesejahteraan emosi perlu terus diberi perhatian supaya sekolah melahirkan insan yang bukan sahaja berilmu, tetapi berakhlak dan mampu hidup harmoni.

Malaysia juga perlu mempertimbangkan satu kerangka dasar pendidikan nasional yang mendapat sokongan merentas parti. 

Pendekatan ini penting supaya pembaharuan dapat diteruskan secara konsisten tanpa terlalu dipengaruhi perubahan politik.

Kerajaan boleh bertukar dan dasar boleh berkembang mengikut zaman. Namun, murid hanya melalui alam persekolahan sekali. Oleh itu, setiap perubahan perlu benar-benar memberi manfaat kepada mereka serta guru yang melaksanakannya.

Reformasi pendidikan yang sebenar bermula apabila guru yakin, dihargai dan disokong untuk memimpin perubahan. –UTUSAN

 

SAMIHA MOHD. SALLEH

Kota Tinggi, Johor

The post Reformasi perlu keyakinan guru appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved