‘Penyatuan Melayu hanya taktikal, slogan’

LocalPolitics
23 Aug 2026 • 7:21 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: ‘Penyatuan Melayu hanya taktikal, slogan’

MUKADIMAH
Enggan mengakui hakikat berlaku tsunami undi Melayu pada dua pilihan raya negeri lalu, bekas pemimpin kanan DAP, RONNIE LIU, mendakwa penyatuan Melayu sekadar slogan malah melihat kerjasama antara parti dan pola pengundian kaum ketika ini lebih banyak didorong kepentingan politik serta strategi pilihan raya.

Selepas 41 tahun bersama DAP, beliau yang kini Ketua Penerangan Parti Bangsa Malaysia (PBM) tampil dengan kritikan terbuka terhadap bekas partinya, termasuk dakwaan DAP semakin kehilangan kepercayaan penyokong malah menjangkakan PH boleh kehilangan kuasa pada PRU16 jika gagal memperbaiki kelemahan.

Dalam wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, IRWAN SHAFRIZAN ISMAIL, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI dan dibantu jurufoto, FAUZI BAHARUDIN, Ronnie berkongsi sasaran PBM bertanding 35 kerusi Parlimen, mengulas kerjasama PH-BN, kemerosotan sokongan bukan Melayu dan gelora dalam DAP.

PARTI KECIL
MINGGUAN MALAYSIA: Apa kelebihan pada PBM yang membuat anda memilih untuk menyertainya?
PBM parti kecil. Orang pun tidak kenal, tapi ini parti yang bersih yang tidak ada baggage (beban).

Tidak macam ada parti lain yang saya tidak mahu sebut namalah. Buat janji, tapi mungkir. Hendak buat itu, ini tapi tidak laksanakan pun, minta untuk bersuara, tidak bersuara.

Kita parti yang boleh bekerja, masih segar dan ini kelebihan. Mungkin buat permulaan agak susah sedikit, kena buat publisiti, cari duit, buat bahagian, tambah ahli, cari calon dan sebagainya. Kena bermula dari bawah. Kita parti pelbagai bangsa. Namun daripada segi semangat kita ‘non-racial’.

SEDIH, BERAT HATI TINGGAL DAP
Bila anda membuat keputusan untuk meninggalkan DAP, bagaimana perasaan ketika itu?
Saya rasa sedih dan berat hati, tetapi saya terpaksa membuat keputusan itu kerana fikiran saya sudah berubah. Pada masa itu, saya melihat DAP tidak lagi membawa semangat asalnya, terutama dalam memperjuangkan isu rakyat.

Saya melihat apabila DAP sudah menjadi kerajaan, semangat untuk bersuara bagi pihak rakyat dan orang yang tertekan seolah-olah sudah hilang. Saya seorang sahaja tidak mampu berbuat apa-apa. Jadi, saya rasa lebih baik saya keluar.

Saya memaksa diri membuat keputusan itu kerana 41 tahun bersama DAP bukanlah satu tempoh singkat dan bukan mudah untuk ditinggalkan.

PRN MELAKA : PBM BELUM SEDIA
Adakah PBM sedia bertanding dalam PRN Melaka?
Saya rasa kami masih belum bersedia untuk bertanding jika PRN Melaka diadakan dalam masa terdekat. Tapi jika berlaku pada Disember, kita pun tidak tahu. Mungkin ketika itu kita bersedia.

Jika dilihat pada PRN Johor dan Negeri Sembilan, parti kecil dan baharu seperti Bersama tewas semua kerusi malah ada hilang deposit, adakah PBM sedia terima nasib sama?
PBM tidak sama dengan Bersama. Daripada segi kawasan yang kita akan pergi, kita akan lebih fokus kepada tempat yang kita kenal dan sudah biasa. Fokus kita lebih kepada kawasan bandar atau kawasan bercampur. Sehingga kita menjadi kuat dalam semua aspek, barulah kita boleh mencuba kawasan Melayu.

Kita juga mesti berjumpa dengan MCA dari BN, Bersatu daripada PN, dan DAP daripada PH, atau Gerakan daripada PN, jadi persaingan kita akan melibatkan parti-parti lama ini.
Tetapi bagi saya, parti-parti tersebut mengamalkan old-fashioned politics. Kita pula lebih segar daripada segi fikiran dan cara pendekatan.

PBM sasar bertanding berapa kerusi pada PRU16?
Kalau kita bertanding sedikit sahaja, orang akan menganggap kita sekadar “kacau daun”. Jadi, kita perlu serius dalam menghadapi PRU16. Sasaran kita adalah untuk bertanding sekurang-kurangnya 35 kerusi Parlimen terutama di kawasan bandar.

DAP HILANG KEPERCAYAAN
Apa pandangan anda tentang keputusan DAP untuk kekal dalam kerajaan?
Mereka seperti tidak mempunyai pilihan. Kalau memilih untuk kekal, masalahnya besar, tetapi kalau mereka memilih untuk keluar, masalah pun besar. Jadi, seolah-olah tiada pilihan yang baik untuk mereka.

DAP sudah kehilangan kepercayaan atau keyakinan daripada penyokong dan ahli sendiri. Saya nampak lebih kurang 50 peratus tidak hadir (pengundian) dan itu satu tanda yang tidak sihat.
Tetapi ini adalah masalah DAP dan terpulang kepada DAP untuk mencari jalan memperbaiki situasi tersebut. Semoga berjaya.

UNDI PERWAKILAN DAP DIATUR
Dengan pengundian hanya melibatkan 2,200 perwakilan berbanding jumlah awal lebih 4,000 yang sepatutnya mengundi, adakah ini seperti sudah diatur?
Setiap negeri mempunyai seorang wakil dan setiap wakil itu seolah-olah sudah diatur, jadi nampak sistem dan elemen demokrasi itu lemah. Itu persepsi saya berdasarkan jumlah kehadiran.

Perbahasan juga seolah-olah tidak dibuka secara bebas. Sepatutnya sesi itu terbuka kepada semua. Siapa sahaja yang mahu bercakap atau mempunyai pandangan dan cadangan boleh tampil ke hadapan untuk berucap, seperti dahulu.

Tidak salah jika setiap negeri mempunyai seorang wakil, tetapi pada masa sama peluang untuk berbahas dan memberikan pandangan perlu dibuka kepada semua perwakilan.
Saya juga tidak pasti sama ada berlaku boikot, tetapi sesuatu yang tidak baik apabila kira-kira 50 peratus lagi perwakilan tidak membuang undi untuk membuat keputusan yang begitu penting.

Dengan DAP kekal dalam kerajaan, adakah Perdana Menteri kini tidak lagi mempunyai tekanan untuk melaksanakan perkara reformasi yang diperjuangkan DAP?
Ya, pada saya, apabila DAP kekal dalam kerajaan, Perdana Menteri seolah-olah sudah lega kerana tidak lagi mempunyai tekanan. Persoalannya adakah beliau akan melaksanakan perkara-perkara yang DAP mahukan?

Sudah tiga tahun perkara itu masih belum berjalan dan masih didesak, termasuk soal reformasi dan pengasingan kuasa. Sekarang Perdana Menteri tidak mempunyai tekanan, sedangkan masa yang tinggal lebih kurang setahun dan tidak banyak yang boleh dibuat.

Pada saya, tekanan kepada Perdana Menteri untuk melakukan sesuatu itu penting. Kalau tidak ada tekanan, berapa banyak perkara yang boleh beliau lakukan? Prestasi kita akan bertambah apabila berada di bawah tekanan. Kalau tiada tekanan, kita mungkin akan membiarkan sahaja sesuatu perkara dan tidak mempunyai kekuatan untuk membuat perubahan.

Itu pandangan saya, tetapi berdasarkan keputusan yang dibuat pada hari itu, Perdana Menteri seolah-olah tidak lagi mempunyai tekanan.

Adakah keputusan ini akan memberi kesan kepada Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16)?
Ia akan beri kesan, sebab bagi saya tiga setengah tahun ini banyak benda yang nampak tidak betul dan ia tidak akan dibetulkan kalau tidak ada tekanan. Saya bagi beberapa contoh, seperti isu Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), isu e-Invois, isu Teoh Beng Hock, isu Lynas, isu ladang babi di Selangor, serta perkara yang dijanjikan dalam manifesto tetapi masih belum dilaksanakan seperti Akta Rahsia Rasmi (OSA), Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Akta Hasutan.

Semua perkara yang kerajaan ataupun PH janjikan masih belum dilaksanakan. Pada masa sama, mereka membuat kesilapan seperti yang saya sebut tadi. Jadi, bagaimana mereka mahu kembali kepada pengundi asal yang dahulu memberikan sokongan padu kepada PH dan meyakinkan mereka untuk memberikan undi sekali lagi kepada PH?.

Saya nampak ia akan menjadi sukar, melainkan mereka cepat-cepat membuat pembetulan. Contohnya, isu subsidi diesel dan subsidi petrol yang pada pandangan kita sekarang masih tidak mencukupi. Banyak perusahaan kecil dan sederhana (SME) tidak berpuas hati, manakala suri rumah juga merasakan tekanan kerana kos sara hidup dan harga barang tinggi. Itu semua satu realiti.

JANGKA PH KALAH PRU16
Maknanya, untuk PRU16 nanti, PH dijangka kalah?
Saya jangka begitu, melainkan mereka membuat pembetulan dengan cepat dan apa yang dijanjikan segera dilaksanakan. Kalau mereka buat begitu, masih ada peluang. Kalau tidak, mereka akan kalah.

PERPECAHAN DAP, PKR TAMPARAN BESAR
Untuk negeri PH, mungkin di Selangor, Perak dan Pulau Pinang turut akan terkesan?
Selangor pun tidak selamat. Pulau Pinang pun tidak selamat. Pulau Pinang tidak selamat bukan sahaja kerana isu-isu yang saya sebut tadi, tetapi perpecahan dalaman DAP dan PKR juga akan memberi kesan.

Sebab, perkara itu tidak boleh dielakkan. Bagi saya, perpecahan dalam PKR sehingga wujudnya parti Bersama satu tamparan besar, begitu juga dengan perpecahan dalam DAP Pulau Pinang sendiri, juga tamparan besar. Ini bukan perkara remeh-temeh.

KERJASAMA PH-BN SUKAR DITERUSKAN
Adakah kerjasama PH-BN di beberapa negeri seperti Selangor, Perak dan Pulau Pinang ketika ini akan diteruskan dalam PRN?
Saya berpendapat kerjasama PH-BN sukar untuk diteruskan kerana tindakan dan kenyataan antara UMNO-BN dan PH sudah melebihi batas tertentu.

Contohnya, tidak perlu diadakan PRN di Johor dan Negeri Sembilan terlalu awal kerana sepatutnya penggal pemerintahan disempurnakan dan tidak dipercepatkan.

Selain itu, ketika kempen pilihan raya, terdapat pelbagai kenyataan yang tidak sepatutnya dibuat tetapi sudah pun dilontarkan oleh kedua-dua pihak, menyebabkan hubungan dan kerjasama antara PH dengan BN semakin sukar untuk diteruskan.

Keadaan ini juga akan menjadi lebih rumit apabila memasuki PRU16 kerana DAP dan MCA berkemungkinan bertembung di kawasan sama. Jika DAP secara tradisinya mempunyai sekitar 40 kerusi yang boleh dimenangi manakala MCA hanya mempunyai dua, DAP tentunya tidak akan melepaskan kerusi yang mempunyai peluang kemenangan kepada MCA.

DAP HILANG 40 PERATUS UNDI BUKAN MELAYU
Bagaimana anda melihat sokongan pengundi bukan Melayu kepada DAP ketika ini?
Kalau tidak silap saya, pada pilihan raya yang lalu, sekitar 95 peratus pengundi bukan Melayu yang menyokong PH adalah kepada DAP. Tetapi itu berdasarkan keadaan pada waktu itu.

Sekarang, kalau kita lihat trend pengundian di beberapa negeri seperti Sabah, Johor dan Negeri Sembilan, saya melihat sokongan itu sudah mengalami penurunan. Sekurang-kurangnya 40 peratus daripada mereka yang dahulu menyokong DAP kini tidak lagi mahu mengundi DAP.

Tetapi pada masa sama, mereka juga tidak semestinya mahu kembali mengundi MCA atau Gerakan. Mungkin mereka masih belum melupakan atau belum berpuas hati dengan parti-parti tersebut berdasarkan pengalaman yang lalu. Memang setiap parti mempunyai penyokong tegar. Penyokong Pas tetap akan sokong Pas, penyokong UMNO tetap sokong UMNO, begitu juga dengan penyokong DAP. Tetapi yang kita lihat sekarang sokongan tegar terhadap PH dan agenda reformasi sudah semakin berkurangan.

Ada berpandangan mungkin hampir separuh daripada sokongan itu sudah hilang. Anthony Loke pula, kalau tidak silap saya, berpandangan sokongan bukan Melayu kepada DAP masih sekitar 80 peratus, berbanding 95 peratus sebelum ini. Itu pandangan beliau. Tetapi pandangan saya, penurunannya mungkin lebih besar.

Bagi pengundi India pula, saya melihat kemerosotannya lebih ketara. Kalau dahulu sokongan mungkin sekitar 95 peratus, sekarang saya menganggarkan ia mungkin sudah turun kepada sekitar 50 peratus.

Perkara ini paling jelas di Johor dan Negeri Sembilan. Dan saya melihat trend ini masih berterusan kerana masyarakat India masih mempunyai beberapa perkara yang mereka tidak berpuas hati.

Pada saya, ini bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan. Parti-parti dalam kerajaan perlu memahami sebab sokongan itu semakin berkurangan dan mengambil tindakan untuk memperbaikinya.

TIADA PENYATUAN MELAYU, CINA ATAU INDIA
Jika lihat keputusan di Negeri Sembilan dan juga Johor, adakah itu tanda Tsunami Melayu?
Ok, ini perpaduan ataupun penyatuan Melayu itu, ia hanya taktikal. Ia bukan lama, bukan permanent (akan kekal), ia temporary. Bila di kawasan yang Pas kuat, Pas tidak akan lepaskan kerusi kepada UMNO. Di Negeri Sembilan dan Johor, Pas tahu mereka tiada pengaruh besar, jadi mereka main taktik. Jadi kalau cakap soal penyatuan Melayu… Anwar bukan Melayukah? Muhyiddin bukan Melayu kah? Bersama bukan Melayu kah? DAP pun ada Melayu, jadi itu slogan sahaja, bukan penyatuan Melayu yang betul.

Kalau hendak betul-betul, semua pemimpin Melayu kena bersatulah, kena bawa Muhyiddin, Hadi Awang, Anwar, Hamzah, Rafizi, Mat Sabu, semua bawa sekali barulah penyatuan. Tiada penyatuan Melayu, Cina mahu pun India, ia hanya slogan sahaja.

DAP TANDING SOLO?
Adakah DAP akan pergi secara solo atau kekal bersama Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya akan datang?
Ada kemungkinan DAP akan bertanding secara solo, walaupun belum tentu sama ada DAP akan kekal bersama PH atau membentuk kerjasama dengan gabungan lain.

Jika bergerak solo, ada kelebihannya kerana mereka boleh mengatakan ketika berada dalam kerajaan, mereka terpaksa mengikut dasar tertentu kerana bukan mereka yang menjadi Perdana Menteri. Naratif ini mungkin menjadi kelebihan kepada DAP untuk meyakinkan sebahagian pengundi Cina agar terus memberikan sokongan.

Namun, kelemahannya DAP mungkin lebih sukar mendapatkan sokongan pengundi Melayu tanpa kerjasama dengan PKR dan Amanah.

Dalam Kongres PKR ada suara yang meminta Perdana Menteri diberi satu lagi penggal. Pandangan anda?

Pada saya, sekarang ini jangan terlalu awal bercakap tentang berapa penggal. Yang lebih penting kita perlu cepat mengakui mana yang tidak betul, mana yang menjadi kekurangan dan mana kesilapan. Kalau ada kesilapan, kita perlu berani mengaku dan segera buat pembetulan. Apa yang sudah dijanjikan kepada rakyat juga perlu dilaksanakan dengan cepat.

Satu tahun itu tidaklah terlalu panjang, tetapi tidak juga terlalu pendek. Jadi, hampir setahun ini perlu digunakan sebaik-baiknya untuk melakukan pembetulan dan penambahbaikan.

Tetapi perkara paling penting keinsafan dan keberanian untuk mengakui kesilapan. Kalau kita sendiri tidak tahu apa yang salah dan silap, bagaimana kita hendak melakukan pembetulan? Kena berani. Perdana Menteri sendiri pernah menyatakan bahawa kalau beliau salah, beliau meminta maaf. Pada saya, itu merupakan satu tanda yang positif. Yang lebih penting selepas itu memastikan kesilapan benar-benar diperbetulkan dan janji kepada rakyat ditunaikan.

SILAP SAYA, CAKAP TIDAK BERLAPIK
Anda dilihat sebagai lantang, hingga dilabel cauvinis dan rasis, boleh komen?
Silap saya juga. Cara saya tidak berlapik. Saya ‘main tembak’ (komen) sahaja. Tidak berlapik, terlalu berterus terang dan tidak pergi kepada latar belakang dahulu.
Macam isu ladang babi. Orang tidak tahu latar belakang. Saya terus ‘tembak’.

Sepatutnya saya perlu beritahu latar belakang. Sebenarnya ladang kita bersih. Orang tidak melawat. Kalau anda melawat, baru tahu bersih atau tidak. Itu yang patut saya cakap. Tahap kebersihan ladang babi sampai satu lalat pun tiada.

Saya tahu Exco, Ahli Parlimen dan Menteri pun tidak datang melawat. Jadi, saya perlu beritahu orang dahulu segalanya tentang ladang ini. kemudian barulah saya cakap ladang ini perlu dikekalkan. Kalau mahu tutup juga, kemudian barulah saya buat kenyataan keras, ‘ini tidak berperlembagaan’.

Lagipun kalau orang Cina tidak boleh makan babi, kita makan apa? Makan ayam, ikan, kambing atau apa? Jadi harga ayam dan ikan semua akan naik. Setiap bangsa ada makanan masing-masing. Jika makan makanan laut kita mahu yang segar, begitu juga daging babi, mahu yang segar, kalau yang sudah diimport tidak lagi segar. Jadi, dalam isu ladang babi ini, kita mahu ia dikekalkan.

TITAH SULTAN
Tidakkah itu bermakna anda tidak patuh pada titah Sultan?
Titah Sultan kita kena hormat. Saya rasa Tuanku ‘misled’ dan orang bawah tidak memberikan pandangan yang betul mengenai keadaan sebenar ladang babi di Tanjung Sepat.
Walhal ada penjagaan terhadap persekitaran. Kalau didakwa bahan sisa dibuang ke laut, itu tidak betul. Dulu mungkin ada, tetapi sekarang tiada. Saya rasa Tuanku tidak diberikan gambaran yang betul.

KEKAL LADANG BABI MASUK MANIFESTO
Adakah ini bermakna mengekalkan ladang babi di Selangor akan jadi antara manifesto PBM?
Apa salahnya? Pada saya, semua kena jaga persekitaran. Ada caranya.

Awak tengok Eropah dan Amerika Syarikat (AS), semua sudah moden. Perak dan Pulau Pinang pun sudah moden. Jadi, tiada isu persekitaran dan tiada isu pencemaran sungai. Itu semua boleh dijaga.

Tetapi kalau tutup sahaja dan pampasan tidak disentuh pun, jadi bagaimana dengan penternak? Adakah penternak dapat pampasan? – Mingguan Malaysia

The post ‘Penyatuan Melayu hanya taktikal, slogan’ appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved