Pada awal tahun ini, HP telah mengumumkan bahawa mereka akan memindahkan semua model komputer gaming mereka, yang terdiri daripada HP Omen dan HP Victus dibawah jenama HyperX, dan sewaktu acara pengumuman produk-produk baru oleh HP Malaysia hari ini, ia telah disahkan bahawa model-model komputer riba gaming terbaru yang dibawa masuk akan hadir dengan penjenamaan HyperX juga.

Sewaktu acara HP Elevate 2026 minggu lepas, HP Malaysia telah memperlihatkan penawaran komputer riba gaming terbaru mereka, iaitu HyperX Omen 15, sebuah komputer riba gaming yang hadir dengan paparan skrin IPS bersaiz 15.3 inci pada resolusi 1920×1200 dengan kadar segar semula setinggi 165Hz.

Komputer riba ini juga dikuasakan dengan cip pemprosesan AMD Ryzen 5 240 dengan gabungan pilihan kad grafik bermula dari NVIDIA GeForce RTX 5050. Ia dikatakan bahawa pilihan kad grafik GeForce RTX 5060 dan GeForce RTX5070 juga akan ditawarkan kelak. Selain daripada itu, komputer riba ini juga hadir dengan penawaran memori LPDDR5 16GB dan storan SSD PCIe 4.0 512GB yang boleh dinaiktaraf sekiranya diperlukan.

Rekaan komputer riba HyperX Omen 15 ini boleh dikatakan sebagai hitam minimalis dengan logo HyperX di bahagian belakang. Pilihan palam juga dilihat tidak terlalu banyak, dengan palam USB 3.2 Type-A di sisi kiri dan kanan komputer riba, bersama-sama dengan palam RJ-45 dan audio 3.5mm. Palam USB 3.2 Type-C dan palam HDMI 2.1 pula dimuatkan di bahagian belakang komputer riba.

HyperX Omen 15 juga dimuatkan dengan bateri 70WHr yang cukup berkuasa untuk menggerakkan komputer riba ini hampir sepanjang hari, dan hadir dengan pengecasan pantas ke 50 peratus dalam masa 30 minit sahaja.

Untuk menyejukkan komponen-komponen komputer riba ini, sistem penyejukan Omen Tempest diperkenalkan yang hadir dengan sistem penyejukan dua kipas dan aliran udara panas ke arah belakang untuk memastikan komputer riba beroperasi pada tahap optimum.

HyperX Omen 15 juga tampil dengan perisian Omen Gaming Hub yang membolehkan pengguna untuk mengubahsuai pelbagai tetapan dan aspek komputer riba ini, dari tahap prestasi, ke kekuatan sistem penyejukan Omen Tempest dan juga

HP Malaysia mengatakan bahawa komputer riba HyperX Omen 15 ini akan mula ditawarkan di pasaran Malaysia tidak lama lagi dengan harga permulaan RM5199 untuk konfigurasi AMD Ryzen 5 240, kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5050, memori LPDDR5 16GB dan storan SSD PCIe 4.0 sebesar 512GB.
Sumber: HP Malaysia






