Ramai cuba melaga-lagakan saya- Tok Mat

LocalPolitics
2 May 2026 • 11:19 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Ramai cuba melaga-lagakan saya- Tok Mat
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berucap sebelum merasmikan Konvensyen Sempena Sambutan Ulang Tahun UMNO ke-80 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Sabtu. Foto Mohd Halim Abdul Wahid

KUALA LUMPUR- Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mendakwa ramai pihak yang cuba melagakan beliau dengan Presiden parti itu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Mohamad berkata, beliau sebaliknya memilih untuk terus setia dan mendokong kepimpinan presiden parti.

"Ramai yang cuba melagakan saya, bukan sikit-sikit, khususnya untuk menimbulkan perpecahan antara kami.

"Apa sahaja yang diperkatakan saya pekakkan telinga dan butakan mata, apa yang penting kita terus menguatkan semangat dan tekad untuk bersama parti," katanya ketika ucapan pembukaan Konvensyen 80 Tahun UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu beliau menegaskan UMNO masih mempunyai dua kekuatan utama untuk mendepani cabaran semasa iaitu pengalaman luas dalam mengurus krisis serta kesetiaan ahli yang terus kekal bersama parti.

Ujarnya, UMNO perlu menjadikan ulang tahun ke-80 sebagai titik untuk membina masa depan, bukan sekadar mengenang sejarah silam.

"Kepimpinan parti yakin bahawa UMNO masih mempunyai dua kekuatan utama, untuk mengharungi cabaran semasa. Pertama, pengalaman luas dalam mengurus krisis.

"Pelbagai krisis telah kita lalui sebelum ini. Lalu kepimpinan UMNO memasang tekad, untuk mengurus krisis ketirisan kepercayaan terhadap UMNO, dengan segala pengalaman yang ada.

"Kedua, kesetiaan ahli, kesetiaan ahli yang tidak berbelah bahagi," katanya.

Jelasnya, berteraskan kekuatan tersebut, parti kini memberi keutamaan kepada usaha memulihkan dan memperkukuh semula organisasi selepas berdepan tempoh mencabar sejak 2018.