IAMKL 2025 Kembali Gegar Kuala Lumpur Dengan Himpunan Kereta, DynoKing, Drift & Diecast

LocalCars
17 Aug 2025 • 3:46 AM MYT
TW Media
TW Media

Gedung Info Permotoran

image is not available


Acara gaya hidup automotif paling dinanti-nantikan di Malaysia, International Automodified Kuala Lumpur (IAMKL) 2025, kembali menggegarkan ibu kota dengan pameran lebih daripada 100 buah kereta yang dipilih khas untuk tatapan peminat. Sejak mula dianjurkan, IAMKL menjadi platform utama untuk menghimpunkan pemilik, penggiat dan pencinta budaya kereta dari seluruh negara, sekali gus menjadikannya sebuah festival gaya hidup automotif yang menyeluruh.

IAMKL 2025 yang berlangsung di Setia City Convention Center, Setia Alam selama 2 hari bermula 16 dan 17 Ogos 2025 menampilkan pelbagai jenis kereta dari jentera prestasi, kereta klasik, sehinggalah kepada kenderaan modifikasi ekstrem. Setiap satunya hadir dengan sentuhan peribadi yang menggambarkan kreativiti dan citarasa pemilik. Para pengunjung berpeluang melihat dari dekat kenderaan yang menjadi ikon dalam dunia modifikasi, malah berinteraksi dengan pemilik untuk bertukar pandangan mengenai trend dan teknologi terkini dalam dunia automotif.

Salah satu acara paling ditunggu-tunggu di IAMKL ialah DynoKing, yang kembali semula tahun ini selepas mendapat sambutan hangat sebelum ini. Pertandingan ini memberi peluang kepada pemilik jentera untuk menguji kekuatan sebenar kuda besi mereka di atas mesin dyno, dengan angka kuasa kuda dan tork dipaparkan secara langsung. Setiap rev enjin dan dentuman ekzos pastinya mengundang sorakan penonton yang ingin tahu siapakah juara kuasa kuda sebenar.

Tidak lengkap sebuah acara gaya hidup kereta tanpa aksi drift yang menghiburkan. IAMKL 2025 membawakan persembahan drift oleh atlet National Drift Series, yang mempamerkan kemahiran mengawal jentera dengan gaya. Aksi tayar berasap, sudut ekstrem dan kawalan presisi dijangka menjadi salah satu tarikan utama, menghidupkan lagi suasana festival.

Bagi peminat koleksi skala kecil, pameran diecast turut menjadi sebahagian daripada IAMKL 2025. Dari model kereta klasik hinggalah supercar moden, diecast yang dipamerkan pasti menarik perhatian bukan sahaja pengumpul tegar malah pengunjung biasa yang ingin mendekati dunia miniatur automotif.

IAMKL bukan sekadar pameran kereta. Ia adalah sebuah perayaan budaya automotif, di mana muzik, gaya hidup, fesyen, dan komuniti bercampur menjadi satu. Selain pameran kereta dan acara utama, pelbagai aktiviti sampingan seperti jualan barangan automotif, aksesori gaya hidup, makanan jalanan dan sesi interaksi bersama penggiat industri menambahkan lagi keunikan festival ini.

Dengan gabungan kereta-kereta hebat, aksi drift, pertandingan DynoKing, serta koleksi diecast, IAMKL 2025 sekali lagi mengukuhkan reputasinya sebagai salah satu acara automotif terbesar rantau ini. Ia bukan sahaja meraikan kreativiti dan teknologi, malah memperkukuh komuniti peminat automotif tempatan di pentas antarabangsa.

Dapatkan tiket anda bernilai RM35 secara dalam talian ataupun secara terus di kaunter tiket.

Teruskan Bersama TW Media!

Sedutan Gambar Acara: Four Wheels – Sedutan tentang apa yang ada di IAM Kuala Lumpur… | Facebook