Ibraco lancarkan projek baharu Taman Industri PrimeBay, sediakan 73 unit kilang di Kuching

28/08/2025 - 14:55
Taman Indusri PrimeBay Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 28 Ogos – Ibraco Berhad melancarkan projek baharu, Taman Industri PrimeBay sempena ulang tahun penubuhannya yang ke-51, sekali gus menandakan pengembangan Kumpulan dalam segmen taman perindustrian.
Terletak di Zon Perindustrian Demak Laut, PrimeBay Industrial Park dibangunkan bagi memenuhi permintaan terhadap ruang perindustrian kos efektif, mudah dikembangkan dan fleksibel.
Taman perindustrian seluas 23.1 ekar itu menawarkan 73 unit kilang, termasuk 62 unit kilang berkembar dua tingkat dan 11 unit kilang sesebuah dua tingkat yang semuanya dibina dalam kawasan berpagar dengan kawalan keselamatan.
Tiga bidang tanah yang strategik turut disediakan untuk sebarang pembangunan khas mengikut keperluan pembeli.
Pengarah Urusan Kumpulan Ibraco, Datuk Chew Chiaw Han berkata, PrimeBay Industrial Park mencerminkan evolusi berterusan Ibraco sebagai kumpulan hartanah pelbagai segmen yang memfokuskan penciptaan nilai mampan bagi semua pihak berkepentingan.
“Pembangunan taman perindustrian ini selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-13 dan pelan transformasi ekonomi Sarawak menjelang 2030, termasuk pemacuan perindustrian dan peralihan ke ekonomi berpendapatan tinggi.
“Kami percaya PrimeBay akan menyokong pertumbuhan ekonomi tempatan serta memberi impak positif kepada prestasi kewangan Ibraco bagi tahun kewangan 2026,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semua unit ditawarkan pada harga kompetitif dengan keluasan antara 2,200 hingga 2,700 kaki persegi, sesuai untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), penyedia logistik dan pengilang.
Setiap unit dilengkapi ciri operasi efisien seperti siling berketinggian dua tingkat, ruang dalaman tanpa tiang, sistem rak tinggi, pintu pengatup dengan tanjakan terbina, serta kawasan parkir khas bagi kakitangan dan kenderaan operasi.
Pengunjung dan bakal pembeli boleh mendapatkan maklumat lanjut serta meninjau reka bentuk PrimeBay di Ibraco Gallery @ the NorthBank, Kuching, atau menghubungi Ibraco di 083-261111.
Berpengalaman lebih 50 tahun, Ibraco terkenal dengan pembangunan Greater Tabuan Township di Kuching, merangkumi lebih 1,000 ekar termasuk kediaman mampu milik dan mewah serta pembangunan bersepadu.
Kumpulan ini turut mengendalikan cabang pembinaan milik penuh sejak 2002 dan mengembangkan operasi kepada pembekalan bahan binaan, kuari dan produk keluli. - DagangNews.com
standard

