Ibraco rancang projek perumahan, perindustrian bernilai RM500 juta di Sarawak

19/05/2025 - 10:04
Oleh Shamsiah Zulkafli
KUALA LUMPUR 19 Mei - Syarikat pemaju hartanah Ibraco Bhd merancang untuk melancarkan beberapa projek pembangunan baharu di Sarawak yang dianggarkan bernilai RM500 juta tahun ini.
Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Chew Chiaw Han berkata, projek-projek baharu itu melibatkan pembinaan kediaman di kawasan pembangunan utamanya, The NorthBank, serta pembangunan perindustrian di Taman Perindustrian Sejingkat, Kuching.
"Turut dalam perancangan adalah pembinaan rumah mampu milik bertanah di Kuching dan satu projek servis apartmen di Bintulu," katanya menerusi laporan tahunan syarikat bagi tahun 2024.
The NorthBank ialah projek pembangunan berskala besar seluas 49.77 hektar dan terletak bersebelahan Tabuan Tranquility, satu lagi projek Ibraco.
Kawasan itu menawarkan pelbagai jenis kediaman berpagar dan berpengawal serta servis apartmen untuk pelbagai lapisan masyarakat, dengan kemudahan seperti pusat membeli-belah, pejabat dan institusi pendidikan.
Chiaw Han dalam pada itu berkata, syarikat telah melancarkan NorthBank Central, iaitu kawasan komersial bersebelahan taman dengan 46 unit kedai tiga tingkat.
Projek tersebut yang mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) RM124.4 juta, berjaya menarik sambutan luar biasa dengan kadar jualan hampir 100% sebaik sahaja dilancarkan.
"NorthBank Central terletak bersebelahan dengan Hospital Pakar NorthBank yang akan dibina dan stesen transit rel autonomi (ART), menjadikannya lokasi yang strategik dan berpotensi tinggi," katanya.
Sepanjang tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, The NorthBank mencatat jualan sebanyak RM162.9 juta bersamaan 63.5% daripada keseluruhan pendapatan projek hartanah Ibraco.
Ibraco juga sudah memulakan pembangunan bandar baharu bernama Arden City seluas 30.75 hektar di Kota Samarahan, iaitu kawasan yang sedang pesat membangun di Sarawak.
Chiaw Han menjelaskan, Arden City terletak berhampiran kemudahan penting seperti Pusat Kanser Sarawak, Pusat Jantung Sarawak, Hospital Pengajar Unimas dan Pusat Penyakit Sarawak selain dihubungkan dengan stesen ART, menjadikannya lebih mudah diakses.
Tahun lalu, syarikat melancarkan dua projek utama iaitu Aster Court dan The Atrium dengan nilai pembangunan kasar masing-masing RM337 juta dan RM84.4 juta.
Aster Court terdiri daripada dua blok dengan 672 unit servis apartmen, manakala The Atrium merangkumi 39 unit kedai tiga tingkat untuk pelbagai jenis perniagaan.
Sementara itu di Bintulu, projek kerjasama Ibraco dengan Lembaga Kemajuan Bintulu, Town Square Bintulu, mencatatkan hasil sebanyak RM32.2 juta, menyumbang 12.6% daripada pendapatan pembangunan hartanah kumpulan bagi tahun 2024.
Fasa pembangunan baharu termasuk Horizon Apartment dengan 163 unit (GDV RM96 juta) dan pengembangan komersial bernilai RM72 juta.
Di Semenanjung Malaysia, Ibraco menyasarkan untuk menyiapkan projek servis apartmen, Residensi NewUrban di Petaling Jaya, Selangor menjelang tahun 2027.
Projek yang dilancarkan tahun lalu itu bernilai RM528.6 juta dan mengandungi dua menara setinggi 36 tingkat dengan jumlah keseluruhan 922 unit.
Dalam sektor pembinaan, Ibraco kini mempunyai buku pesanan bernilai RM1.02 bilion.
Antara projek utama yang sedang dijalankan ialah pembinaan jambatan Batang Samarahan dan jalan raya dua lorong sepanjang sembilan kilometer ke Batang Sadong.
Projek bernilai RM529.8 juta berkenaan dijangka siap pada Februari 2027 di bawah Lebuhraya Trunk Kedua Sarawak.
Sebagai langkah untuk mengukuhkan rantaian bekalan dalam pembinaan, Ibraco turut melabur dalam sebuah loji pengeluaran asfalt yang mula beroperasi pada Disember lalu. - DagangNews.com
standard


