Ibu bapa dibenar tidak hantar anak ke sekolah

LocalFamily & Parenting
16 Oct 2026 • 6:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Ibu bapa dibenar tidak hantar anak ke sekolah

PETALING JAYA: Ibu bapa dibenarkan untuk tidak menghantar anak-anak ke sekolah, walaupun Kementerian Pendidikan (KPM) memutuskan hanya akan menutup institusi pendidikan apabila Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi bacaan 200.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, kelonggaran itu diberikan susulan kebimbangan ibu bapa terhadap anak-anak yang mempunyai masalah kesihatan.

Katanya, walaupun KPM memutuskan untuk menutup sekolah berpandukan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK), pihaknya memahami bahawa tidak semua anak mempunyai keadaan kesihatan sama.

“Ada yang menghidap asma, mempunyai masalah pernafasan dan ada lebih mudah terkesan dengan jerebu. Sebab itu, kita tambah satu lagi kelonggaran. Kalau ibu bapa rasa keadaan jerebu boleh menjejaskan kesihatan anak, mereka dibenarkan untuk tidak menghantar anak ke sekolah.

“Cuma maklumkan kepada pihak sekolah,” katanya.

Fadhlina berkata, beliau sependapat dengan pandangan ibu bapa bahawa kesihatan anak-anak tidak boleh dikompromi tetapi KPM mempunyai tanggungjawab untuk memastikan mereka tidak kehilangan masa belajar.

“Pengalaman kita ketika PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dahulu cukup mengajar betapa sukarnya untuk mendapatkan semula pembelajaran yang ter­tinggal.

“Saya faham tidak semua orang akan bersetuju dengan setiap keputusan. Apa yang boleh dipastikan, setiap kebimbangan akan terus didengar dan keputusan akan dibuat dengan merujuk mereka yang mempunyai kepakaran,” katanya.

Fadhlina memperjelaskan bahawa keputusan KPM untuk menutup sekolah apabila bacaan IPU melebihi 200 selepas mengambil kira pandangan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Beliau berkata, isu jerebu bukan sekadar soal sekolah dibuka atau ditutup, sebaliknya ia melibatkan hal-hal berkaitan kesihatan, alam sekitar dan pengurusan bencana.

Katanya, setiap kementerian, agensi dan jabatan mempunyai kepakaran dan tanggungjawab tersendiri dalam menguruskan hal-hal tersebut.

“KPM ini bidangnya pendi­dikan. Kalau soal kesihatan, kita ada Kementerian Kesihatan (KKM). Kalau hendak tahu keada­an udara, kita ada Jabatan Alam Sekitar (JAS). Kalau soal pengurusan bencana, kita ada Nadma. Masing-masing ada pakar dan tanggungjawab mereka.

“Sebab itu saya panggil semula agensi-agensi berkaitan untuk duduk semeja. Kita perlu melihat semula keputusan ini dengan mendapatkan pandangan mereka yang lebih arif.

“Dalam perbincangan itu, kita turut mengambil kira pandangan Nadma bahawa pengurusan jere­bu negara perlu berpandukan PTJK. Selepas mengambil kira pandangan agensi berkaitan, KPM memutuskan untuk kembali menggunakan ketetapan dalam PTJK,” katanya.

Fadhlina berkata, ramai pihak menyuarakan persoalan kenapa sekolah ditutup sebelum ini, sedangkan IPU masih rendah.

Katanya, apabila Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan kebimbangan tentang jerebu, KPM mengambil maklum keprihatinan Seri Paduka. – UTUSAN

The post Ibu bapa dibenar tidak hantar anak ke sekolah appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved