
KUALA LUMPUR – “Biasanya waktu exam week ni ibu selalu akan tanya Aqif macam mana hari dekat sekolah, dah dapat result ke belum? Tapi sekarang ibu dah tak tanya pun… Aqif rindu.”
Itulah luahan menyentuh hati seorang pelajar SPM, Aqif, yang tular di Threads selepas berkongsi rasa kehilangan insan paling disayang ketika musim peperiksaan kembali menjelma.
Perkongsian itu mengundang sebak dalam kalangan warga maya apabila Aqif dilihat duduk di sisi pusara arwah ibunya sambil mengenang setiap kenangan yang tidak mungkin berulang.
“Ibu Tak Pernah Marah, Sentiasa Beri Semangat”
Menurut Aqif, setiap kali keputusan peperiksaan diumumkan, terutama subjek Matematik, dia pasti pulang menemui ibunya.
Jika markah yang diperoleh tidak memuaskan, dia akan menangis sambil memeluk ibunya. Namun, arwah tidak pernah memarahi dirinya, sebaliknya sentiasa memberikan kata-kata semangat agar terus bangkit dan berusaha.
“Hari ni Aqif rindu sangat-sangat kat ibu. Balik sekolah terus Aqif nak ziarah ibu biar panas pun.”
Janji 7A Yang Masih Belum Tertunai
Lebih menyentuh perasaan, Aqif turut memohon orang ramai mendoakan dirinya agar diberikan kekuatan untuk menghadapi peperiksaan SPM tahun ini.
Dia mengakui masih menyimpan rasa terkilan kerana belum sempat menunaikan janji kepada ibunya untuk memperoleh keputusan cemerlang.
“Aqif tak sempat lagi tunaikan janji ibu untuk dapat 7A. Sorry yer ibu. Aqif akan cuba yang terbaik time SPM nanti, insya-Allah.”
Turut dikongsikan ialah tangkap layar perbualan WhatsApp bersama arwah ibunya. Dalam perbualan itu, ibunya hanya meletakkan sasaran lima A, namun Aqif dengan penuh yakin membalas bahawa dia mahu menghadiahkan 7A buat insan tersayang.
“Ibu tunggu 7A daripada Aqif,” balas arwah ibunya ketika itu.
Kini, mesej tersebut tinggal kenangan yang menjadi pembakar semangat buat Aqif untuk meneruskan perjuangan.
Ribuan Netizen Titip Doa Buat Aqif
Ruangan komen pula dibanjiri ribuan doa dan kata-kata semangat daripada netizen.
Ramai mendoakan agar Aqif dipermudahkan menjawab peperiksaan SPM dan berjaya memperoleh keputusan cemerlang sebagai hadiah paling bermakna buat arwah ibunya.
Ada juga yang mengakui turut mengalirkan air mata membaca luahan tersebut kerana mengingatkan mereka kepada insan tersayang yang telah pergi buat selama-lamanya.
Semoga Aqif terus kuat menghadapi ujian ini dan berjaya merealisasikan impian memperoleh 7A sebagai hadiah terindah buat arwah ibu yang sentiasa hidup dalam ingatan dan doanya.
The post “Ibu Dah Tak Tanya Dah…” – Luahan Pelajar SPM Rindu Arwah Ibu Buat Ramai Sebak, Janji Raih 7A Tak Sempat Ditunaikan appeared first on The Malaysian Update.





