Ibu dipapah tuntut jenazah anak

11 Oct 2026 • 8:18 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Ibu dipapah tuntut jenazah anak

BATU PAHAT: Seorang ibu tidak dapat menahan kesedihan sehingga terpaksa dipapah ketika menuntut jenazah anak perempuannya yang maut dalam kemalangan membabitkan sebuah lori di Batu 1, Jalan Yong Peng-Ayer Hitam, di sini, kelmarin.

Hairul Aziah Rahmad, 52, berkata, dia tiba lewat di lokasi kejadian sehingga tidak sempat menatap wajah anaknya, Nurmaisarah Abd Jalil, 22, buat kali terakhir.

“Saya sampai di lokasi, tengok kereta sudah tinggal rangka,” katanya ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), di sini, semalam.

Nurmaisarah maut bersama sepupunya, Siti Nur Batrisya Mohd. Khalid, 22, selepas Perodua Myvi dinaiki terbakar susulan kemalangan dengan sebuah lori.

Lebih memilukan, kedua-dua wanita itu mempunyai hubungan sangat rapat sejak kecil, malah pernah berjanji untuk sehidup semati.

Sementara itu, ibu saudara mereka, Norbani Mahpol, 41, berkata, kedua-duanya membesar bersama di Kampung Parit Sagil, di sini, selain bersekolah di tempat sama dari sekolah rendah hingga tamat Tingkatan Enam. Mereka hanya berbeza beberapa bulan dari segi usia.

Siti Nur Batrisya, anak bongsu daripada tujuh beradik, manakala Nurmaisarah anak bongsu daripada dua beradik.

“Hubungan mereka sangat rapat seperti adik-beradik. Lebih menyedihkan, kedua-duanya baru mengikat tali pertunangan masing-masing pada April lalu,” katanya.

Norbani berkata, sebelum keluar bekerja kelmarin, Siti Nur Batrisya dikatakan merenung wajah ibunya, Hamidah Sulaiman, 66, seolah-olah tatapan terakhirnya terhadap wanita itu.

Katanya, ibu mangsa turut memaklumkan bermimpi melihat ramai orang datang ke rumah sejak beberapa hari lalu, namun tidak menyangka tragedi menimpa keluarganya.

Sementara itu, sepupu mangsa, Daniel Aiman Low, 20, berkata, kedua-duanya sempat berkunjung ke kedai makan yang diusahakannya sebelum kejadian.

Kedua-dua jenazah dikebumikan bersebelahan di Tanah Perkuburan Islam Ayer Hitam, di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Hitam, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Shamin Mohamed Salikin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.21 petang kelmarin. – UTUSAN

The post Ibu dipapah tuntut jenazah anak appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved