Ibu dua beradik jatuh pangsapuri didakwa

16 Jun 2026 • 11:58 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Ibu dua beradik jatuh pangsapuri didakwa
Seorang wanita warga asing didakwa atas pertuduhan mengabaikan dua anaknya sehingga menyebabkan seorang daripada mereka maut manakala seorang lagi cedera parah selepas terjatuh dari tingkat 12 sebuah pangsapuri di Tampoi, awal bulan ini.

JOHOR BAHRU – Seorang wanita warga asing didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Isnin atas pertuduhan mengabaikan dua anaknya sehingga menyebabkan seorang daripada mereka maut manakala seorang lagi cedera parah selepas terjatuh dari tingkat 12 sebuah pangsapuri di Tampoi, awal bulan ini.

Ketua Polis Johor, Ab Rahaman Arsad berkata, suspek berusia 37 tahun yang merupakan ibu kepada dua kanak-kanak warga tempatan itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara pada 7 Jun lalu.

Menurut beliau, dalam kejadian tersebut, seorang kanak-kanak disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala seorang lagi mengalami kecederaan parah.

“Suspek dituduh mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak.

“Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda sehingga RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, kertas siasatan telah dilengkapkan dan dirujuk kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor sebelum arahan pertuduhan dikeluarkan oleh Timbalan Pendakwa Raya.

Menurutnya, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000, namun wanita itu gagal membayar wang jaminan berkenaan.

“Tertuduh kini ditahan di penjara sehingga tarikh sebutan semula kes pada 22 Julai depan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak bertindak mengikut emosi atau melakukan sebarang perbuatan yang menyalahi undang-undang berhubung kes berkenaan.