KUALA KRAI - "Ibu hampir pitam terkejut mendapat tahu abang dan adik maut dalam kemalangan, malah dia tidak tidur sepanjang malam menunggu ketibaan jenazah."
Demikian kata Ruqaiyah Ishak, 28, anak keempat daripada lima beradik selepas dia bersama ibunya, Seedah Arwae, 51, mendapat perkhabar tentang kemalangan maut yang menimpa abang sulungnya, Mohamad Zulkefli, 32, dan isteri, Norshila Zali, 36, serta adik bongsu, Muhammad Alif Syukri, 18.
Kemalangan itu berlaku jam 5 petang di Kilometer 90, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, berhampiran Bukit Bauk, Terengganu ketika mereka sekeluarga dalam perjalanan pulang ke Kelantan selepas selesai menjemput Muhammad Alif Syukri, yang menuntut di Politeknik Sultan Ahmad Shah (POLISAS), Kuantan, Pahang.
Menurut Ruqaiyah ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pasir Era di sini pada Isnin, dia dan ibu menerima khabar duka itu sekitar jam 7 malam selepas dimaklumkan oleh rakan abangnya.
**media[3689585]**
Ujar dia, hanya abang ketiganya yang tinggal di Selangor ke Hospital Dungun manakala ahli keluarga yang lain menunggu di rumah.
"Jenazah abang dan adik tiba di rumah sekitar jam 9 pagi.
"Sehingga sekarang ibu hanya mampu menangis setiap kali melihat jenazah abang serta adik," katanya.
Ruqaiyah memberitahu, kehilangan anak sulung serta bongsu lelaki itu memberi kesan kepada ibunya selepas pemergian ayah pada 2017 lalu.
Ujarnya, mereka bertiga sangat rapat lebih-lebih lagi abangnya itu suka bergurau dan tinggal bersama ibunya sebelum mendirikan rumah tangga pada 2023.
Jelas dia, abangnya yang bekerja sebagai kontraktor Tenaga Nasional Berhad (TNB) berpindah dan tinggal bersama kakak ipar yang merupakan seorang peniaga di Sungai Durian bersama dua lagi anak tirinya berusia 13 serta 14 tahun selain anak saudara sebelah isterinya, 12 tahun.
**media[3689587]**
Mengimbau kembali kali terakhir mereka berhubung, Ruqaiyah memberitahu, dia ada menghantar pesanan WhatsApp kepada abangnya sekitar jam 3.38 petang, dua jam sebelum kejadian bertanyakan lokasi mereka.
"Abang membalas mesej dengan menghantar gambar mereka bertiga di dalam kereta. Itulah kenangan terakhir kami.
"Jenazah abang dan adik akan dikebumikan dalam satu liang lahat di Tanah Perkuburan Islam Kampung Era, manakala kakak ipar di Ketereh," katanya.
Media pada Ahad melaporkan hasrat tiga sekeluarga untuk pulang ke Kelantan tidak kesampaian apabila mereka maut dalam kemalangan di Kilometer 90, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, berhampiran Bukit Bauk, Terengganu pada Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, Mohamad Zulkefli dan isterinya, Norshila disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
Muhammad Alif Syukri pula menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Hospital Dungun.






