Ibu maut, anak cedera MPV langgar penghadang bahu jalan

3 Aug 2026 • 12:30 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Ibu maut, anak cedera MPV langgar penghadang bahu jalan

SHAH ALAM, 3 OGOS: Seorang wanita maut,manakala anak lelakinya cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza yang dinaiki mereka melanggar penghadang besi jalan di Kilometer 8, Jalan Batu Pengasah, Durian Burung, Padang Terap, hari ini.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Superintendan Mohd Anuar Junoh berkata polis menerima laporan kejadian pada jam 7.40 pagi, lapor Berita Harian.

Jelasnya, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan dipandu lelaki berusia 21 tahun yang arah Kuala Nerang menghala ke Durian Burung terbabas ke bahu kiri jalan lalu melanggar penghadang besi jalan.

"Akibat daripada itu, ibunya yang berada di tempat duduk penumpang dipercayai tersepit di tempat duduk hadapan dan mengalami kecederaan parah.

"Kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian yang gagal mengawal kenderaan lalu terbabas melanggar besi penghadang bahu jalan. Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan, " katanya hari ini.

Mohd Anuar berkata mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang, Penolong Penguasa Bomba Zulhusni Abdul Rahman, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada jam 7.44 pagi.

"Dalam kenderaan itu terdapat mangsa wanita berusia 50-an tersepit di tempat duduk penumpang hadapan, manakala seorang lelaki berusia 21 tahun yang juga pemandu kenderaan itu dihantar ke hospital oleh pihak KKM sebelum ketibaan pasukan keluaran operasi di lokasi.

"Tindakan awal pasukan bomba adalah dengan mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan menyelamat dan mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, " katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved