MIRI - Seorang wanita warga emas berusia 78 tahun maut selepas disambar dan diheret buaya ketika mencari siput bersama anak perempuannya di sungai berhampiran Batu Niah, pada Selasa.
Lebih menyayat hati, anak mangsa menyaksikan sendiri kejadian apabila reptilia berkenaan tiba-tiba menyambar ibunya sebelum mengheret mangsa kira-kira 10 meter dari perahu.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam kenyataan memaklumkan kejadian berlaku berhampiran simpang sebelum Jambatan Suai ketika Sambai Anggah berada di atas perahu, manakala anaknya berada di dalam sungai, hanya kira-kira satu meter dari mangsa.
**media[3612969]**
"Anak mangsa menyaksikan sendiri buaya berkenaan tiba-tiba menyambar ibunya dan mengheret mangsa kira-kira 10 meter dari perahu.
"Penduduk kampung yang menyedari kejadian itu bertindak mengepung buaya berkenaan sehingga haiwan tersebut melepaskan mangsa, yang kemudiannya dibawa naik ke jeti," menurut kenyataan itu.
**media[3612970]**
Menurut JBPM Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.26 pagi sebelum lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Niah tiba di lokasi kira-kira 30 minit kemudian.
Operasi ditamatkan pada 1.45 tengah hari dan mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.






