
BATU NIAH (SARAWAK) - Seorang wanita berusia 78 tahun maut selepas diserang buaya ketika sedang mengutip siput bersama anak lelakinya, di sebuah anak sungai yang bersambung dengan Sungai Suai, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa, Sambai Anggah, diserang reptilia berkenaan ketika berada di dalam sebuah bot, manakala anak lelakinya berada di dalam sungai kira-kira satu meter dari lokasi kejadian.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Niah, PBK II Azlan Azaman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.26 pagi sebelum lima anggota bomba dikerahkan ke lokasi dengan menaiki jentera Fire and Rescue Tender (FRT).
“Berdasarkan maklumat yang diterima, mangsa bersama anaknya sedang mengutip siput di sungai sebelum dia secara tiba-tiba diserang seekor buaya,” katanya seperti dilaporkan BH.
Menurut Azlan, anak mangsa yang berada kira-kira satu meter dari lokasi kejadian menyaksikan sendiri ibunya diserang buaya ketika berada di dalam bot.
Beliau berkata, haiwan berkenaan kemudian menyeret mangsa kira-kira 10 meter dari bot sebelum melepaskannya, selepas penduduk kampung mengepung reptilia terbabit.
“Penduduk kampung kemudian menemui mangsa terapung di dalam air sebelum membawanya ke jeti.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya. - Getaran, 11 Ogos 2026






