
SUNGAI PETANI: Seorang ibu muda yang masih menyusukan bayi berumur empat bulan antara 35 individu yang ditahan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kuala Muda dalam operasi, Isnin lalu.
Wanita berusia 27 tahun dan bekerja sebagai pengutip bahan terbuang itu ditahan bersama dua wanita lain dan seorang lelaki ketika dipercayai mengambil dadah di dalam sebuah rumah di pekan Sungai Petani.
Ketua AADK Daerah Kuala Muda, Asnida Ishak berkata, semakan rekod mendapati wanita itu pernah ditahan Jun lalu ketika mengandung lapan bulan atas kesalahan penyalahgunaan dadah dan diletakkan dalam proses jamin.
“Bagaimanapun dia melanggar syarat serta gagal hadir proses jamin yang dihadapinya dan kelmarin ketika operasi penguatkuasaan dijalankan, dia ditemui bersama sekumpulan individu di rumah itu sedang mengambil dadah.
“Ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sementara itu, Mahkamah Majistret Sungai Petani memerintahkan wanita itu menjalani pemulihan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Bachok, Kelantan.
Asnida berkata, ibu kepada wanita berkenaan yang berumur 55 tahun memaklumkan akan menjaga cucunya sepanjang wanita itu menjalani proses pemulihan.
“Bagaimanapun, nenek bayi itu juga didapati baru dibebaskan dari penjara dan dia mempunyai 14 rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.
“Nenek itu bersama teman lelakinya berusia 40 tahun didapati positif methamphetamine ketika ujian saringan air kencing yang menyebabkan permohonan untuk menjaga cucunya ditolak,” katanya.
Katanya, selain bayi berkenaan, wanita itu mempunyai seorang lagi anak lelaki berumur empat tahun yang kini dijaga oleh seorang pengasuh.
“Namun, permohonan pengasuh untuk menjaga anak-anak itu turut ditolak apabila semakan lanjut mendapati suami pengasuh itu juga pernah ditahan AADK kerana penyalahgunaan dadah.
“Jadi, kita sedang berurusan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menguruskan penjagaan bayi itu bagi menjamin keselamatan dan kebajikannya sepanjang tempoh ibunya menjalani pemulihan,” katanya. – UTUSAN
The post Ibu muda masih menyusu bayi antara ditahan AADK appeared first on Utusan Malaysia.





