
MUMBAI: Seorang wanita warga emas ditahan kerana disyaki membunuh menantu perempuannya berusia 35 tahun dalam pertengkaran di sebuah pangsapuri di Ghatkopar Timur kelmarin.
Polis mengesyaki pertikaian rumah tangga yang sudah lama berlaku antara kedua-dua wanita itu mungkin mencetuskan kejadian berkenaan.
Suspek, Dhanalaxmi Ganji, 60, didakwa menyerang Sapna Pramod Ganji sebelum menghentakkan kepala mangsa ke lantai ketika mereka bergelut, menurut polis.
Sapna tinggal di sebuah pangsapuri berasingan berhampiran bersama anak lelakinya berusia 10 tahun dan baru pulang dari Dubai pada Jun, manakala suaminya, Pramod, masih bekerja di negara itu.
Kedua-duanya sebelum ini mempunyai sejarah perselisihan, termasuk laporan gangguan yang dibuat Sapna terhadap keluarga mentuanya pada 2024.
Bapa Sapna, Rajendra Ballal, yang bekerja sebagai tukang jahit, berkata selepas laporan itu dibuat, Sapna berpindah tinggal bersama ibu bapanya di Nalasopara.
Pada Ogos 2024, suaminya memujuk mangsa untuk kembali bersama. Pasangan itu kemudian membeli sebuah pangsapuri berasingan dan tinggal di situ bersama anak mereka, menurut polis.
Pada Februari lalu, Pramod mendapat pekerjaan di Dubai dan berpindah ke sana bersama Sapna serta anak mereka.
Bagaimanapun, pada Jun, Sapna dan anak lelakinya kembali ke Mumbai dan tinggal berdua di pangsapuri berkenaan.
Menurut polis, suspek pergi ke pangsapuri mangsa lewat kelmarin selepas pembantunya memaklumkan Sapna dipercayai mabuk dan menjerit. Pertengkaran kemudian tercetus sebelum kedua-dua wanita itu bergelut.
Dhanalaxmi kemudiannya menghubungi polis dan mendakwa mangsa terjatuh di bilik air. Sapna dikejarkan ke Hospital Rajawadi di Ghatkopar, namun doktor mengesahkan dia meninggal dunia.
Ketika disoal siasat, suspek didakwa memberitahu polis Sapna dalam keadaan mabuk dan menjerit kepadanya ketika dia tiba di pangsapuri berkenaan.
Bagaimanapun, polis menemukan kesan kecederaan akibat serangan pada tubuh Sapna, sebelum menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu.
“Pertengkaran tercetus antara kedua-duanya dan berlaku aksi tolak-menolak, menyebabkan Sapna terjatuh di bilik air,” kata seorang pegawai polis Pant Nagar.
Polis kemudian menahan suspek dan mendakwanya mengikut Seksyen 103 (membunuh) dan Seksyen 115 (dengan sengaja menyebabkan kecederaan) di bawah Kanun Jenayah India (BNS).- AGENSI
The post Wanita warga emas ditahan disyaki bunuh menantu appeared first on Utusan Malaysia.






