
Lelaki itu didakwa melakukan penganiayaan fizikal terhadap mangsa, anak sulungnya sehingga menyebabkan kecederaan di Taman 1 Krubong di sini, kira-kira 7 malam 19 Julai.
MELAKA: Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan melakukan penganiayaan fizikal terhadap anak kandung perempuan mereka yang berusia sembilan tahun, bulan lepas.
Pengakuan pemandu lori berusia 36 tahun dan isterinya 35 tahun yang didakwa secara berasingan direkodkan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.
Lelaki itu didakwa melakukan penganiayaan fizikal terhadap mangsa, anak sulungnya sehingga menyebabkan kecederaan di Taman 1 Krubong di sini, kira-kira 7 malam 19 Julai.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nor Asnini Kamarudin menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan syarat tambahan tidak mengganggu saksi pendakwaan, khususnya mangsa.
Bagaimanapun lelaki itu yang tidak diwakili peguam memohon jumlah tersebut dikurangkan atas alasan pendapatannya tidak menentu dan menyara dua anak yang masih bersekolah.
Sementara itu, isteri lelaki tersebut didakwa menganiaya mangsa di lokasi, masa serta tarikh yang sama dan pertuduhan juga dibuat mengikut Seksyen 31(1) akta yang sama.
Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Qayyum Ramlan menawarkan jaminan RM20,000 berserta syarat tambahan tidak mengganggu saksi pendakwaan terutama mangsa.
Wanita itu merayu jaminan dikurangkan atas alasan tidak bekerja dan menguruskan dua anak berusia sembilan dan enam tahun.
Rohatul Akmar membenarkan jaminan RM10,000 kepada tertuduh lelaki berserta syarat tambahan yang dimohon pihak pendakwaan dan RM9,000 kepada wanita serta menetapkan 8 Sept untuk sebutan semula kes bagi lantikan peguam.





