
KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) kategori lembam maut selepas terperangkap dalam kebakaran di rumah keluarganya di Kampung Gong Tok Nasek, di sini, malam tadi.
Mayat mangsa, Abd. Latif Abd. Rashid, 41, ditemukan pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di tingkat bawah kediaman dua tingkat itu kira-kira pukul 11.30 malam.
Mangsa tinggal bersama bapanya, Abd. Rashid Md Zain, 64, dan ibunya, Sharipah Yusof, 59.
Sharipah berkata, dia dan suaminya baru sahaja hendak tidur kira-kira pukul 10 malam sebelum dikejutkan dengan ketukan di pintu serta diberitahu rumah mereka terbakar.
Katanya, dia dan suaminya bergegas keluar menyelamatkan diri sebelum menyedari Abd Latif masih berada di dalam rumah berkenaan.
“Ketika itu kami terus keluar untuk menyelamatkan dir tetapi selepas berada di luar rumah, saya baru sedar anak saya masih di dalam,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Mayat mangsa yang hampir rentung ditemukan selepas operasi pemadaman selesai dan diserahkan kepada polis sebelum dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Timbalan Penguasa Bomba II, Thoyyibah Taib berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 10.52 malam.
“Kebakaran dapat dikawal daripada merebak ke kediaman berhampiran kira-kira pukul 11.10 malam. Ketika operasi pemadaman dijalankan, kami dimaklumkan terdapat seorang lelaki dipercayai terperangkap di dalam rumah berkenaan.
“Selepas kerja pemadaman selesai, anggota menemukan mayat seorang lelaki yang dipercayai terjatuh dari tingkat atas rumah,” katanya. – UTUSAN
The post Lelaki OKU lembam maut terperangkap kebakaran appeared first on Utusan Malaysia.






