Ibu suka bercakap, Allah gantikan kesunyian dengan orang suka bercakap’

EntertainmentLifestyle
29 Oct 2026 • 8:30 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Ibu suka bercakap, Allah gantikan kesunyian dengan orang suka bercakap’

KUALA LUMPUR: Genap 10 hari kehilangan insan tersayang, pelakon, Syafiq Kyle reda dengan pemergian ibu tercinta, Allahyarham Rohaya Sulaiman yang meninggal dunia akibat kanser paru-paru tahap empat, baru-baru ini.

Menurut Syafiq, dia percaya ada hikmah di sebalik kehilangan tersebut, selain yakin bahawa kini hanya doa seorang anak mampu menjadi bekalan berharga buat arwah.

“Apa pun yang berlaku, saya reda dengan pemergian ibu. Saya percaya ada banyak hikmah yang baik di sebaliknya. Keberkatan seorang ibu dalam keluarga sangat besar. Sebagai ibu, sudah tentu dia sentiasa mahukan yang terbaik untuk anak-anaknya.

“Mungkin sekarang kami sudah kehilangan ibu, tetapi apa yang saya pegang ialah doa seorang anak untuk ibunya juga sangat besar nilainya. Jadi, sekarang giliran saya pula untuk terus mendoakan ibu,” katanya ketika ditemui di sesi temubual bersama pelakon filem BAGA: Esok Untuk Siapa?, hari ini.

Sementara itu, Syafiq turut berkongsi keadaan kesihatan ibunya yang pada awalnya mengalami sakit perut sebelum menjalani pembedahan berkaitan masalah hempedu tahun lalu sebelum disahkan menghidap kanser paru-paru tahap empat.

“Ibu menjalani rawatan kemoterapi sejak Disember hingga Oktober. Tetapi selepas beberapa sesi rawatan, sekitar sesi keempat, keadaannya semakin lemah dan tidak lagi bertenaga seperti sebelumnya. Alhamdulillah, semua ahli keluarga berada bersama ibu ketika saat-saat akhirnya,” kongsinya.

Dalam pada itu, suami kepada pelakon, Mimi Lana tersebut tidak menafikan hidupnya terasa sunyi tanpa kehadiran arwah ibunya yang disifatkan sebagai seorang yang suka bercakap.

“Ibu saya seorang yang sangat suka bercakap. Mungkin Allah menggantikan kesunyian itu dengan menghadirkan orang-orang yang juga suka bercakap di sekeliling saya.

“Terlalu banyak momen yang saya rindukan. Saya bersama ibu sejak kecil, daripada zaman persekolahan, belajar, mula bekerja sehinggalah sekarang.

“Kalau saya hendak ingat satu per satu, saya perlu duduk termenung dan fikir dahulu. Memang banyak perkara yang saya rindukan tentang ibu,” jelasnya.

Berkongsi mengenai kehidupannya selepas kehilangan insan tersayang, pelakon filem Malaikat Malam itu memaklumkan dirinya bakal mengambil cuti rehat seketika untuk menenangkan diri.

“Hari ini sudah masuk hari kesembilan atau kesepuluh ibu saya meninggal dunia. Sepanjang tempoh ini, kami masih mengadakan majlis tahlil kecil-kecilan di rumah.

“Saya sangat bersyukur kerana ramai yang mendoakan arwah ibu. Sehingga hari ini, masih ada orang berkongsi cerita mengenai kebaikannya dan perkara itu sedikit sebanyak menenangkan hati saya.

“Mungkin selepas ini saya akan mengambil sedikit masa untuk bercuti daripada kesibukan kerja. Tentang perasaan lain, biarlah saya menghadapinya sendiri,” ujarnya.

The post Ibu suka bercakap, Allah gantikan kesunyian dengan orang suka bercakap’ appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved