
Ujian seorang ibu tunggal , bukan ketika anak-anak masih kecil, tetapi ketika anak-anak yang dibesarkan dengan penuh kasih sayang itu meningkat dewasa dan berubah sikap.
Ibu yang dahulunya, menjadi tempat mereka bergantung dan berlindung, perlahan-lahan berasa diri tidak diperlukan seperti dahulu.
Anak-anak semakin sibuk, mula mempunyai kehidupan sendiri, pasangan, keluarga dan pekerjaan.
Minggu ini saya kongsikan kisah Laila, (bukan nama sebenar), ibu tunggal yang pernah mengalami situasi sama apabila anak-anak yang dahulu mencari bahunya ketika menangis, juga menjadi sebab air matanya jatuh.
Apabila konflik mula timbul, dia semakin mudah terasa hati dan sensitif. Ada masa dia terasa seperti orang asing dalam kehidupan anak-anak yang pernah menjadi penguat semangat dan kebahagiaannya.
Pada akhirnya, dia memilih untuk menjaga jarak demi menjaga hati dan maruah dirinya. Dia mula belajar perlahan-lahan untuk tidak terlalu bergantung kepada anak-anak.
Kisah Laila dikongsikan tuan punya badan dalam pertemuan diatur bersama baru-baru ini. Menurut Laila tujuan dia berkongsi kisah hidupnya bukan untuk membuka aib keluarga sendiri terutama anak menantu, tetapi lebih kepada pengajaran.
Memulakan cerita kata Laila, setelah kematian suami, Mazlan, (bukan nama sebenar) pada pertengahan tahun 1993, hidupnya berubah sepenuhnya. Dia bukan sahaja kehilangan teman hidup, tetapi terpaksa memikul tanggungjawab membesarkan anak-anak seorang diri.
Ketika anak-anak masih kecil, Azim, Mahani dan Saiful, (bukan nama sebenar) masing-masing berusia, 10, lapan dan enam tahun, dia menjadi ibu dan bapa dalam satu masa. Dia bekerja di sebuah kilang berhampiran bagi memastikan keperluan anak-anak mencukupi mengikut kemampuan.
Makan pakai, pendidikan dan kasih sayang. Banyak keperluannya sendiri diketepikan kerana baginya, kebahagiaan anak-anak adalah kebahagiaannya.
“Ada ketika saya benar-benar penat, sedih. Namun saya menyembunyikan kesedihan di hadapan anak-anak. Saya pilih menjadi kuat dan mengorbankan banyak perkara dalam hidup demi anak-anak,” ujarnya menyingkap kisah lalu.
Menyambung cerita kata Laila, dalam tempoh membesarkan anak-anak, bukan tidak ada lelaki yang datang mendekati. Lelaki itu. Fauzi (bukan nama sebenar) tahu dia seorang ibu tunggal dengan tiga anak kecil.
Fauzi menawarkan diri untuk menjadi teman hidup dan katanya mahu menjadi pengganti sebagai bapa kepada anak-anak. Tetapi dia menolak secara baik.
Bukan kerana lelaki tu tidak baik. Dia menolak kerana hatinya belum bersedia untuk membuka ruang kepada orang lain.
“Saya juga takut sekiranya keputusan itu akhirnya membuatkan anak-anak berasa terabai dan kurang kasih sayang daripada saya sebagai seorang ibu,” ujar Laila.
Lelaki itu kata Laila akhirnya pergi. Dia meneruskan hidup seorang diri bersama anak-anak. Bertahun-tahun dia mengorbankan diri, masa tenaga, wang dan perasaannya untuk Azim, Mahani dan Saiful. Dia memilih untuk tidak berkahwin lagi. Bukan tidak ada peluang, tetapi dia memilih untuk memberikan seluruh hidupnya kepada anak-anak.
Namun apabila anak-anak semakin dewasa dan mempunyai kehidupan sendiri, keadaan berubah. Anak-anak yang dahulu menjadi sebab dia terus bertahan, perlahan-lahan menjauh dan berubah.
Ada kata-kata yang melukakan hati, ada sikap yang berasakan dirinya tidak dihargai. Membuka cerita kata Laila, segalanya bermula selepas Azim mempelawanya untuk duduk bersama di Kuala Lumpur. Hatinya benar-benar tersentuh. Dia berfikir sudah tiba masanya untuk tinggal bersama anak menantu.
Pada awalnya semuanya baik-baik sahaja. Namun selepas beberapa bulan dia berada di rumah Azim, keadaan berubah.
Menantunya, Rima, (bukan nama sebenar) mula kurang senang dengan kehadirannya.
Perkara yang dahulunya, dianggap biasa menjadi masalah. Lebih menyedihkan kata Laila, setiap kali berlaku salah faham, Azim mula lebih banyak berpihak kepada isterinya.
Semakin lama dia semakin sedar, anak menantu menganggapnya seperti orang luar.
Selepas beberapa bulan tinggal bersama anak sulungnya itu, dia dibawa Mahani untuk tinggal bersamanya.
Pada awalnya Mahani melayannya dengan baik. Namun semakin lama dia tinggal bersama Mahani, semakin banyak perkara yang mula menimbulkan konflik.
Dia tidak pernah menyangka, teguran yang lahir daripada kebimbangan seorang ibu , akhirnya menjadi punca hubungan mereka semakin renggang.
Mahani sering keluar sebelum matahari terbit untuk bekerja dan pulang sesudah matahari terbenam.
“Sebagai ibu saya cukup bimbang. Bukan berniat untuk mengawal kehidupannya, tetapi naluri saya sebagai seorang ibu tetap sama.
“Pada fikiran saya itu adalah nasihat daripada seorang ibu kepada anak. Namun anak saya mula merasakan teguran itu sebagai satu bentuk campur tangan,” ujarnya.
Jadi dia mengalah lagi. Selepas tidak serasi tinggal di rumah anak sulung dan anak perempuan, dia tinggal pula di rumah anak lelaki bongsunya, Saiful.
Anak yang paling manja dengannya. Apabila mengetahui dia mahu keluar dari rumah kakaknya, Saiful segera menawarkan diri. Hati ibu kembali tersentuh.
Mungkin kali ini, dia akan menemui tempat berehat dengan lebih tenang. Pada awalnya, hubungan mereka sangat baik. Namun kebahagiaan itu tidak lama.
Saiful mempunyai isteri, anak-anak dan komitmen sendiri. Konflik pertama muncul, apabila berlaku perbezaan cara mengurus rumah. Dia yang terbiasa bangun awal melakukan kerja-kerja rumah termasuk mencuci pakaian dan memasak.
Bagaimanapun, niatnya untuk membantu anak menantu yang masing-masing penat bekerja disalah erti. Lama-kelamaan, perkara yang sama menjadi punca salah faham.
Akhirnya, dia membuat keputusan untuk kembali tinggal sendirian di rumahnya sendiri.
Bukan kerana tidak sayangkan anak-anak, tetapi dia tidak mahu kehadirannya terus terusan menjadi punca pergaduhan antara anak dan menantu.
“Saya tahu, sekiranya saya terus tinggal di rumah anak-anak, perkara kecil akan menjadi besar. Saya memilih menjaga jarak untuk kebaikan semua pihak,” ujarnya.
Sejak dari itu dia tidak lagi bertanya khabar setiap hari. Tidak lagi memaksa anak menantu datang menemuinya. Dia memilih diam bukan kerana tidak peduli atau tidak menyayangi. Dia hanya belajar dirinya juga berhak untuk hidup dengan tenang dalam usia yang masih berbaki.
Banyak pengajaran yang boleh diambil daripada kisah Laila yang bukan sekadar tentang seorang ibu yang tinggal berpindah-randah dari rumah seorang anak ke rumah anak yang lain.
Kisah tersebut juga berkisar tentang pengorbanan, kasih sayang, harapan dan batas dalam hubungan dan maruah seorang ibu di usia tua.
Seorang ibu juga perlu belajar melepaskan. Seperti kisah Laila, setelah bertahun-tahun menguruskan kehidupan anak-anak, ada masanya ibu perlu menerima hakikat bahawa anak-anak ada keluarga dan kehidupan sendiri.
Melepaskan bukan bererti tidak menyayangi. Di pihak anak-anak pula, masa bersama ibu tidak panjang.
Hari ini mungkin kita sibuk dengan pasangan, anak-anak, pekerjaan dan kehidupan sendiri, tetapi suatu hari, hanya tinggal kenangan.
Sebagai anak kita mungkin tidak mampu membalas seluruh pengorbanan ibu bapa. Tetapi selagi mereka ada, masih ada ruang dan peluang untuk berbakti.
Sesungguhnya dalam Islam, perintah berbuat baik kepada kedua ibu bapa jelas terdapat dalam beberapa ayat al-Quran.
Sebagaimana Firman Allah SWT, “Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah: Wahai Tuhanku!, Kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka telah mendidikku ketika kecil,”- Surah Al-Isra 24.
The post Ibu tunggal pilih jaga jarak dengan anak menantu appeared first on Utusan Malaysia.





