
KUALA TERENGGANU – Kekurangan diri bukan halangan buat seorang ibu tunggal lumpuh gigih mencari rezeki demi menyara dua anak terutama sejak kematian suami dua tahun lalu.
Norhaslina Suria Mohamed, 43, berkata, selain menjadi tukang jahit, dia kini belajar menganyam produk kraftangan daripada daun mengkuang bagi menambah pendapatan.
Dia yang juga atlet para memanah Terengganu berkata, kematian arwah suami, Mohamad Ridhuan Mohamad Yusoff akibat komplikasi batu karang pada 2024 memberi tamparan besar buat dirinya dan anak-anak.
“Arwah suami sepanjang hayat bukan sahaja penyara utama keluarga, malah pendorong kuat saya yang ‘patah hati’ ekoran tiba-tiba bergelar orang kurang upaya (OKU) 15 tahun lalu.
“Saya dilahirkan normal namun tiba-tiba menjadi lumpuh akibat komplikasi sewaktu melahirkan anak perempuan sulung,” katanya pada program Ikon Prihatin di sini semalam.
Dia merupakan antara 100 ibu tunggal dalam kalangan golongan kurang berkemampuan (B40) seluruh Terengganu diberi latihan menganyam produk mengkuang dan rotan bagi menambah pendapatan anjuran Kelab Wanita Ikon Malaysia.
Katanya, dorongan arwah suami membantu dia yang terlantar di katil hampir lapan tahun untuk bangkit memulihkan diri.
Ujarnya, pada mulanya dia dihantar arwah suaminya ke kelas memanah bagi memulihkan saraf dan pergerakan tangan pada tahun 2019 sehingga akhirnya terpilih menjadi atlet para memanah negeri sehingga kini.
“Arwah suami kemudian menghantar saya mendapat rawatan fisioterapi dan latihan pemulihan kerja di Pusat Rehabilitasi Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial) di bandar raya ini dan Melaka. – KOSMO! ONLINE
The post Atlet para memanah gigih anyam daun mengkuang sara dua anak appeared first on Kosmo Digital.






