
KUALA LUMPUR: Tiga beranak yang maut dirempuh lori Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) dipercayai sedang bercuti di ibu negara.
Difahamkan terdapat seorang lagi anak mangsa tidak mengikut percutian mereka ketika kejadian.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, siasatan awal mendapati kesemua mangsa menetap di Kampar, Perak dan dipercayai berada di ibu negara untuk bercuti.
“Bagaimanapun tidak dipastikan sejak bila mereka berada di sini (Kuala Lumpur).
“Isteri mangsa sedang berada di zon merah, dalam keadaan kritikal,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurutnya, pemandu lori dan seorang lagi pemandu kereta sedang dalam proses reman di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati waris mangsa telah tiba di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur bagi proses pengecaman jenazah.
Turut difahamkan, proses bedah siasat ke atas ketiga-tiga mangsa sedang berjalan.
Terdahulu, tiga sekeluarga maut selepas dilanggar sebuah lori Jabatan Imigresen yang terbabas di persimpangan lampu isyarat Maju Junction, Jalan Sultan Ismail di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, mangsa yang maut di tempat kejadian ialah seorang lelaki berusia 53 tahun serta dua anak perempuannya masing-masing berusia 25 dan 12 tahun.
Seorang wanita berusia 55 tahun yang juga isteri dan ibu kepada mangsa cedera dan kini dirawat di Zon Merah Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Mohd. Zamzuri dilaporkan berkata, kemalangan itu membabitkan lori Black Maria milik Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, dua kenderaan lain dan empat pejalan kaki.
Katanya, siasatan awal mendapati lori berkenaan dipandu seorang lelaki berusia 43 tahun tanpa penumpang dan dalam perjalanan dari Pejabat Imigresen Kuala Lumpur menuju ke Chow Kit bagi mengambil Orang Kena Tahan (OKT) susulan operasi pendatang asing tanpa izin (PATI).
“Lori tersebut dipercayai memasuki persimpangan ketika lampu isyarat di laluannya berwarna merah dalam keadaan lampu beacon dan siren diaktifkan.
“Pada masa sama, sebuah Proton Saga dipandu lelaki berusia 50 tahun sedang bergerak lurus melalui persimpangan berkenaan ketika lampu isyarat di laluannya berwarna hijau,” katanya.
Mohd. Zamzuri berkata, pemandu Proton Saga dipercayai tidak sempat mengelak sebelum berlaku perlanggaran dengan lori berkenaan di tengah persimpangan.
“Akibat pelanggaran tersebut, lori terbabit hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar empat pejalan kaki yang merupakan satu keluarga,” katanya. – UTUSAN
The post Tiga beranak maut dari Kampar sedang bercuti di ibu negara appeared first on Utusan Malaysia.






