
HARI ini masuk masuk hari ke-11 pendaki wanita, Jaslinda Saludin hilang tanpa jejak. Anaknya menerusi laman sosial mengambil kesempatan memohon maaf kepada orang ramai sekiranya pendaki berusia 49 tahun itu pernah melakukan sebarang kesilapan sama ada secara sedar atau tidak.
Menerusi hantaran di aplikasi Threads menggunakan akaun deefzl._, permohonan maaf itu dibuat dengan rendah hati sebagai waris kepada wanita itu yang dilaporkan hilang sejak 24 Mei lalu.
"Sebagai waris, saya dengan rendah hati memohon maaf bagi pihak beliau," katanya.

Dalam hantaran sama, dia turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang tidak putus-putus mendoakan keselamatan ibunya dan pihak terbabit dalam operasi pencarian.
Katanya, keluarga mereka menghargai doa, nasihat, petua dan sokongan yang diterima sepanjang usaha mencari Jaslinda dijalankan.
"Ya ALLAH, terima kasih atas kehadiran setiap insan yang tidak putus-putus mendoakan ibu serta kepada semua anggota dan pihak yang terlibat dalam usaha pencarian.
"Semoga ALLAH SWT menerima dan mengabulkan segala doa yang dipanjatkan. Saya dan keluarga juga mendoakan agar setiap kebaikan, keikhlasan dan doa yang diberikan dibalas dengan ganjaran yang berlipat ganda oleh Allah SWT," jelasnya.

Dalam hantaran itu juga, deefzl._ turut meluahkan kerinduan terhadap ibunya dengan menulis ringkas, 'ibu, we miss you'.
Mengimbas kembali 23 Mei lalu, Jaslinda dilaporkan bersama 13 lagi individu dan dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) memulakan pendakian Trans Spencer Chapman pada 2 pagi serta melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.
Jaslinda yang cedera pada kaki sebelum itu difahamkan berhenti rehat bersama seorang lagi pendaki lelaki yang mengalami masalah pernafasan dan seorang malim gunung di Kem Batu Core.
Bagaimanapun, Jaslinda gagal dikesan selepas dipercayai meneruskan perjalanan ke puncak gunung bersendirian.
Sumber: Sinar Harian






