
Kota Kinabalu: Noraidah Lamat, ibu kepada allahyarham Zara Qairina Mahathir adalah antara tiga saksi terakhir akan memberi keterangan dalam inkues bagi menentukan punca kematian remaja berusia 13 tahun itu yang dijadualkan bersambung Oktober ini.
Noraidah bersama kakak tiri Zara, Malianah Mahathir serta pegawai penyiasat kes itu dijadual memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan mulai 6 hingga 23 Oktober ini.
Mahkamah menetapkan tempoh tiga minggu bagi melengkapkan keterangan ketiga-tiga saksi berkenaan.
Amir turut menetapkan 5 Oktober untuk lawatan ke tempat kejadian atau locus in quo di sekolah agama tempat Zara bersekolah bersama semua pihak yang terlibat dalam inkues.
Semua pihak terlibat diminta bersedia untuk locus in quo pada jam 10 pagi.
Peguam Shahlan Jufri yang merupakan antara peguam mewakili ibu Zara memohon supaya saksi kanak-kanak turut hadir ketika locus in quo berkenaan.
Beliau menjelaskan bahawa bukan semua saksi kanak-kanak perlu hadir sebaliknya hanya mereka yang berkaitan.
“Kami akan cuba sedaya upaya mengemukakan nama mereka satu demi satu namun jika memerlukan lebih masa, kami akan kemukakannya pada Isnin,” katanya.
Amir memaklumkan kepada semua pihak bahawa tiada prosiding terbuka di mahkamah selepas locus in quo dan inkues akan disambung semula pada keesokan harinya, 6 Oktober.
Setakat ini kira-kira 80 saksi telah memberi keterangan dalam inkues berkenaan, termasuk pakar, guru, anggota polis, pelajar dan ibu bapa.
Zara, 13, ditemui di bawah bangunan asrama pada 16 Julai 2025 dan meninggal dunia di hospital pada keesokan harinya.
Mayatnya digali semula pada 9 Ogos 2025 sebelum bedah siasat dijalankan pada 10 Ogos di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth (HQE).
Pada 20 Ogos 2025, lima individu bawah umur yang diberikan nama samaran Pelajar A, B, C, D dan E didakwa kerana menggunakan kata-kata menghina terhadap Zara.





