
PETALING JAYA – Helikopter BO-105 dipercayai mengeluarkan kepulan asap dan api sebelum terhempas berhampiran Lapangan Terbang Landasan Pendek Long Lellang, Miri, Sarawak, semalam.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, perkara itu antara maklumat awal yang diperoleh pihak polis berdasarkan keterangan saksi di lokasi kejadian.
“Jadi terdapat beberapa orang saksi telah melihat sebelum helikopter ini mendarat iaitu terdapat kepulan asap dan juga api sebelum ia terhempas,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Mohamad Zainal berkata, hasil siasatan awal, helikopter itu memulakan penerbangan dari Lapangan Terbang Miri pada pukul 10.21 pagi menuju ke Balai, dengan perjalanan udara mengambil masa kira-kira sejam.
“Selepas daripada sana mereka terus bergerak ke Long Siud. Jadi jarak antara Balai ke Long Siud lebih kurang tujuh hingga lapan minit.
“Daripada Long Siud mereka terus ke Long Lelang, tempat di mana tragedi ini berlaku yang juga mengambil masa kurang daripada 10 minit,” ujarnya.
Beliau berkata, helikopter itu terhempas di hujung landasan terbang Long Lellang kira-kira pukul 3.40 petang.
Beliau berkata, semua lima mangsa yang berada dalam helikopter berkenaan ditemukan di dalam bangkai pesawat yang kemudian terbakar.
Dalam kejadian itu, helikopter berkenaan membawa seorang juruterbang dan empat petugas Kementerian Kesihatan yang menjalankan perkhidmatan doktor udara.
Mangsa dikenal pasti Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30,Dr Ainul Baraah Kamaruddin, 33, Debra Moset, 40, dan Jessie Paya Jok, 44, dan Alexson Adit Henry, 31. – KOSMO! ONLINE
The post Kepulan asap, api dilihat sebelum helikopter terhempas di Long Lellang appeared first on Kosmo Online.






