
KOTA KINABALU – Kehadiran ibu kepada Allahyarham Zara Qairina Mahathir, Noraidah Lamat, di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu pagi tadi menarik perhatian apabila beliau dilihat tenang sepanjang prosiding berlangsung.
Noraidah yang tiba sekitar jam 8.50 pagi ditemani wakil badan bukan kerajaan (NGO) serta pasukan guamannya, sempat menyapa media dengan senyuman sebelum melangkah masuk ke mahkamah.
Prosiding hari ini membabitkan permohonan pihak berkepentingan yang cuba menangguhkan inkues kematian Zara, namun ditolak oleh mahkamah.
Peguam keluarga, Shahlan Jufri, berkata keputusan tersebut memberi semangat baharu kepada keluarga arwah untuk meneruskan prosiding yang dijadualkan bermula 3 September depan.
“Ibu Zara bersemangat dan gembira apabila permohonan tangguh tidak dibenarkan. Sejak awal lagi, keluarga mahu inkues ini diteruskan tanpa penangguhan.
“Ketenangan yang ditunjukkan beliau hari ini mencerminkan semangat keluarga untuk melihat inkues berjalan lancar demi mencari kebenaran,” katanya ketika ditemui selepas prosiding.
Mahkamah sebelum ini menetapkan tarikh inkues bermula 3 hingga 4 September, 8 hingga 12 September, 17 hingga 19 September, serta 22 hingga 30 September 2025.

