Ibu Zara Qairina nafi dakwaan anak tiri, tidak pernah abaikan, maki atau label 'anak haram'

LocalFamily & Parenting
7 Oct 2026 • 5:56 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Ibu Zara Qairina nafi dakwaan anak tiri, tidak pernah abaikan, maki atau label 'anak haram'
Inkues kematian Zara Qairina terus mencuri tumpuan dengan ibu tirinya, Noraidah Lamat menafikan dakwaan anak tirinya, Malianah Mahathir.

KOTA KINABALU - Ibu Zara Qairina Mahathir menafikan satu demi satu dakwaan anak tirinya, Malianah Mahathir, ketika memberi keterangan dalam inkues kematian Zara Qairina, pada Selasa.

Menjawab soalan peguam Shahlan Jufri, Noraidah Lamat, 46, menafikan dakwaan bahawa dia hanya berpura-pura baik dengan Malianah ketika suaminya, Mahathir Mohd Hashim, berada di rumah, sebaliknya bersikap sebaliknya apabila suaminya tiada.

Noraidah berkata, sekiranya benar dia bersikap demikian, dia tidak akan menghantar Malianah ke sekolah atau menyediakan keperluan persekolahan anak tirinya itu ketika tinggal bersamanya.

"Begini tuan, pada tahun 2011 Malianah berumur 10 tahun, belum matang dan belum baligh lagi waktu itu. Kalau saya ini jahat dengan Malianah saya tidak hantar dia ke sekolah pagi dan ambil dia lepas balik dari sekolah, saya tidak hantar dia bersekolah di KAFA Masapol. Kalau saya jahat dengan Malianah saya tidak sediakan kelengkapan sekolahnya.

"Dan kalau saya jahat dengan Malianah mesti dia sudah lari dari rumah ataupun mengadu dengan neneknya yang dia tidak tahan dengan saya. Ini dia tinggal di rumah saya sehingga bapa saya meninggal," katanya semasa memberikan keterangannya di sini pada Rabu.

Noraidah turut menafikan dakwaan Malianah bahawa dia sering memaki dan menggunakan bahasa kasar terhadapnya, termasuk mengaitkan keadaan keluarga serta hubungan Malianah dengan bapanya.

"Saya tidak ada memaki dia dengan bahasa kasar seperti yang dia dakwa saya. Kalau dia melakukan kesalahan saya cuma menegur dia seperti emak-emak lain yang menegur anaknya memandangkan dia berada di rumah saya.

"Saya huraikan sikit, dengan kehidupan masa lalunya yang terabai oleh emaknya sendiri yang seperti yang diceritakan oleh ibu Mahathir, ketika menyerahkan Malianah.

"Saya tidak pernah mengata 'kau anak haram' dengan Malianah. Saya tidak mahu mengulas lanjut sebab itu hal peribadi mereka," katanya.

Noraidah dalam pada itu turut menafikan dakwaan bahawa dia pernah tidak mengambil Malianah selepas tamat persekolahan sehingga anak tirinya itu terpaksa dihantar pulang ke rumah oleh seorang lelaki, selain menafikan dakwaan dia ketika itu sedang membaca novel dan tidak mengambil berat mengenai keselamatan Malianah.

"Yang pertama, saya tidak suka membaca novel dan ketika dia mendakwa saya tidak mengambilnya itu tidak pernah," jelasnya.

Bagaimanapun, Noraidah mengakui pernah memaklumkan kepada Mahathir mengenai Malianah yang tidak pergi ke sekolah KAFA, namun menjelaskan ia berlaku selepas anak tirinya itu mengadu sakit perut ketika hendak dihantar ke sekolah.

"Itu betul, sebab waktu saya beri tahu saya mahu hantar Malianah ke sekolah KAFA, di dalam kereta dia kata dia sakit perut, lepas itu dia hentak-hentak kaki di dalam kereta.

"Dia kata dia sakit perut kan dan menangis, saya bawa dia ke rumah jiran yang telah memberikannya minyak panas (ubat) di perutnya dan selepas itu saya tidak jadi menghantarnya ke sekolah.

"Saya memang ceritakan dengan Mahathir mengenai anaknya yang tidak mahu ke sekolah," katanya.

Sebelum itu, dalam inkues tersebut, Malianah merupakan saksi ke-81 yang hadir memberi keterangan dalam prosiding di mana dia pernah tinggal bersama Noraidah selama kira-kira tujuh bulan di Sipitang.

Lagi artikel berkaitan:

Lima remaja bawah 18 tahun akan didakwa kes buli Zara Qairina

Kes Zara Qairina: Peguam desak pertuduhan Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan

Ibu Zara Qairina dua kali tolak bedah siasat, mahu segera kebumi anak - Saifuddin

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved