
KOTA KINABALU – Pasukan peguam yang mewakili Noraidah Lamat, 45, menafikan sebarang kutipan sumbangan wang susulan penularan nombor akaun anak guam mereka di platform media massa ketika ini.
Menurut kenyataan, pihak mereka mengesan penularan nombor akaun berkenaan seolah-olah membayangkan Noraidah, yang juga ibu kepada Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir sedang mengutip derma untuk dirinya sendiri termasuk bagi membayar yuran pasukan guaman.
“Kami menyatakan bahawa anak guam kami tidak ada membuat sebarang kutipan derma ketika ini sama ada untuk dirinya sendiri atau untuk membayar yuran guaman kami.
“Nombor-nombor akaun anak guam kami yang disebarkan itu pernah digunakan untuk menerima sumbangan orang ramai kepada anak guam kami beberapa hari selepas kematian Zara.
“Namun, sumbangan melalui akaun-akaun itu telah dihentikan tidak lama kemudian,” jelas kenyataan itu pada Khamis.
Kenyataan tersebut menegaskan bahawa sebarang sumbangan wang kepada anak guam mereka hanya akan diterima secara fizikal oleh beliau sendiri atau melalui wakil badan bukan kerajaan (NGO) yang telah diberi autoriti.
Pada masa sama, kenyataan itu turut menjelaskan bahawa khidmat guaman yang diberikan untuk mewakili Noraidah adalah secara pro bono.
“Perkhidmatan guaman kami adalah secara pro bono atau percuma,” tegas kenyataan itu.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Hamid Ismail, Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh dan Farrah Nasser.
Lagi artikel berkaitan:

