amree28/10/2026 - 15:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 28 Okt — iCents Group Holdings Berhad meluluskan kepelbagaian cadangan penggunaan dana hasil tawaran awam permulaan (IPO) berjumlah RM27 juta bagi tujuan sebagai modal kerja.
Jumlah peruntukan semula itu merangkumi sebanyak RM4.1 juta atau kira-kira 15.20% daripada keseluruhan dana kasar yang berjaya diraih menerusi penyenaraian di Pasaran ACE pada 17 Julai 2025.
Berdasarkan makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu sudah mengguna pakai RM17.87 juta daripada dana IPO berkenaan setakat 30 Jun 2026, manakala baki tidak digunakan pula sebanyak RM9.14 juta.
"Peruntukan semula bernilai RM4.10 juta itu diambil daripada perancangan asal yang sebelum ini bagi pembelian mesin dan peralatan, perluasan perniagaan, serta pembangunan produk," jelas iCents.
Syarikat tersebut dalam makluman itu berkata, ia turut bertindak menyusun semula peruntukan RM2.28 juta daripada peruntukan pembelian mesin dan peralatan untuk digunakan sebagai modal kerja.
Langkah berkenaan dilaksanakan memandangkan kumpulan itu tidak melihat keperluan mendesak bagi perolehan aset jentera baharu seperti mesin pemotong laser CNC dan trak dalam masa terdekat.

Selain itu ujarnya, sebahagian peruntukan perluasan perniagaan bernilai RM0.33 juta bagi kerja-kerja pengubahsuaian kemudahan di Mantin, Negeri Sembilan turut dialihkan ke bahagian modal kerja.
Pada masa sama, iCents turut mengalihkan sebanyak RM1.50 juta daripada peruntukan pembangunan produk, pendaftaran paten, dan pendaftaran produk antarabangsa untuk menyokong aliran kewangan.
"Usaha peruntukan semula ini dijangka dapat meningkatkan kecairan kewangan kumpulan bagi membiayai operasi harian seperti pembelian bahan mentah dan bayaran kepada subkontraktor," tambahnya lagi.
Bagaimanapun, sekiranya timbul pula keperluan perbelanjaan modal (capex) atau pembangunan produk pada masa hadapan, kumpulan berhasrat membiayainya menerusi sumber dana dalaman atau pinjaman bank.
Pelaksanaan variasi ini ujar iCents, tidak memerlukan kelulusan pemegang saham atau Bursa Malaysia kerana peratusan pindaan adalah di bawah ambang 25% daripada keseluruhan hasil IPO. - DagangNews.com




