amree28/10/2026 - 18:11 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 28 Okt — EcoFirst Consolidated Berhad memeterai perjanjian bersyarat menerbitkan sehingga 70,000,000 saham keutamaan boleh ditukar boleh tebus 5% (RCPS) bernilai agregat sehingga RM70 juta kepada Advance Opportunities Fund dan Advance Opportunities Fund I.
Langkah korporat strategik ini bertujuan mempercepatkan pelaksanaan pelbagai projek pembangunan hartanah masa depan kumpulan pemaju tersebut, di samping memperkukuh kedudukan kewangan am syarikat berkenaan.
Berdasarkan makluman kepada Bursa Malaysia, terbitan RCPS ini akan dilaksanakan kumpulan itu secara berperingkat merangkumi lapan bahagian yang kemudian diagihkan kepada 26 bahagian kecil.
"Harga terbitan ditetapkan pada kadar RM1.00 bagi setiap RCPS, manakala langganan peringkat 1 membabitkan nilai RM5.00 juta bergantung kepada pemenuhan syarat-syarat terdahulu," kata EcoFirst.
Dana yang diraih menerusi terbitan RCPS ini akan diagihkan kepada beberapa peruntukan utama termasuk kos pembangunan projek hartanah baharu, perolehan tanah, serta keperluan modal kerja am.
Bagi senario maksimum RM70 juta, sebanyak RM30 juta diperuntukkan untuk kos prapembangunan projek, RM20 juta bagi pengambilalihan tanah masa depan, dan baki untuk modal kerja serta perbelanjaan terbitan.

Antara projek berimpak tinggi yang bakal menerima suntikan dana ini merangkumi pembangunan hartanah bercampur Ellington @ Jade Hills di Kajang, Selangor serta projek kediaman Bolden dan Collins di Bayan Lepas, Pulau Pinang.
Secara keseluruhan, EcoFirst mempunyai unjuran nilai pembangunan kasar (GDV) masa hadapan yang amat kukuh mencecah kira-kira RM4.58 bilion, termasuk pembangunan berskala besar di Ampang Ukay, Selangor.
Lembaga Pengarah berpendapat bahawa terbitan RCPS ini merupakan kaedah pengumpulan dana paling efektif dan pantas tanpa membebankan aliran tunai syarikat berbanding pembiayaan hutang konvensional.
"Di samping itu, kumpulan turut mencadangkan pindaan kepada Perlembagaan Syarikat bagi memastikan kelancaran pelaksanaan terbitan instrumen kewangan tersebut," jelasnya.
Cadangan korporat ini tertakluk kepada kelulusan Bursa Malaysia bagi penyenaraian saham penukaran serta persetujuan pemegang saham menerusi Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang akan diadakan kelak. - DagangNews.com






