ICW, BuildXpo Malaysia sasar RM1.5 bilion nilai dagangan

LocalBusiness & Finance
2 Sep 2026 • 2:07 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: ICW, BuildXpo Malaysia sasar RM1.5 bilion nilai dagangan

KUALA LUMPUR: Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) dan BuildXpo Malaysia 2026 menyasarkan nilai dagangan sebanyak RM1.5 bilion, selain menarik 17,000 pengunjung perdagangan serta 250 pempamer dari 15 negara dan wilayah.

Penganjuran yang memasuki tahun keempat itu akan berlangsung dari 10 hingga 12 November ini di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Pengerusi Eksekutif Qub Integrated Malaysia Sdn. Bhd., Richard Teo berkata, BuildXpo Malaysia terus mencatat pertumbuhan dari segi nilai dagangan, penyertaan pempamer dan jumlah pengunjung sejak diperkenalkan.

“Di bawah tema tahun ini, melangkaui batasan (Beyond Limits) kami membina momentum tersebut dengan memperluaskan program, mengukuhkan penyertaan serantau dan mewujudkan lebih banyak peluang untuk industri,” katanya dalam ucapan sempena sesi penerangan mengenai penganjuran ICW dan BuildXpo Malaysia 2026 di MITEC hari ini.

Tahun lalu, ICW dan BuildXpo Malaysia merekodkan lebih 15,000 pengunjung perdagangan, dengan nilai transaksi perniagaan yang diunjurkan sebanyak RM1.41 bilion.

Dalam penganjuran kali ini turut memperluaskan pengalaman pengunjung melangkaui konsep pameran perdagangan tradisional dengan memberi penekanan lebih besar kepada pembelajaran, penerokaan teknologi dan interaksi industri.

Antara inisiatif baharu diperkenalkan ialah The Build Series, iaitu program yang menghimpunkan perkongsian teknikal, amalan terbaik industri, pameran inovasi, pembentangan produk dan perbincangan pemikiran industri secara langsung di ruang pameran.

Selain itu, Build ProPass diperkenalkan bagi menggabungkan aspek pengetahuan, inovasi, peluang perniagaan dan pembangunan profesional dalam satu pengalaman pengunjung.

Melalui Build360 pula, pengunjung dapat memperoleh gambaran lebih menyeluruh mengenai pameran, persidangan, ciri khas serta peluang perniagaan yang ditawarkan, sekali gus membantu mereka merancang kunjungan dengan lebih berkesan.

Dari sudut kandungan, program ICW dan BuildXpo Malaysia 2026 turut diperluaskan menerusi pelbagai persidangan dan seminar termasuk AsiaConstruct Conference, BAMBUilds’26 Talk & Dialogue, Global Opportunities Seminar dan ICTC Conference.

Usaha membangunkan bakat dan meningkatkan penglibatan industri pula diteruskan menerusi 2nd ASEAN Crane Lifting Planning Competition dan MSSA Open Ideas Competition, selain ICW Technical Visit bagi memberi pendedahan kepada golongan profesional mengenai aplikasi inovasi dan pengetahuan teknikal dalam persekitaran binaan.

Menurut beliau, perkembangan itu menunjukkan ICW bukan lagi sekadar memberi tumpuan kepada apa yang sedang dibina ketika ini, tetapi turut membincangkan bagaimana industri akan membina masa depan.

“Ini merangkumi teknologi yang diterima pakai, kemahiran yang dibangunkan, idea yang dikongsi dan kerjasama yang diwujudkan,” katanya.

Satu lagi perkembangan utama tahun ini ialah kemunculan Glasstech Asia & Fenestration Asia (GAFA) yang akan ditempatkan bersama ICW dan BuildXpo Malaysia buat kali pertama di MITEC.

Kerjasama itu menggabungkan dua segmen yang saling melengkapi dalam industri persekitaran binaan, merangkumi teknologi pembinaan, jentera, bahan binaan, penyelesaian digital dan kaedah pembinaan moden dengan teknologi kaca, tingkap dan fasad. – UTUSAN

The post ICW, BuildXpo Malaysia sasar RM1.5 bilion nilai dagangan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved