
SERDANG: Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 merekodkan nilai jualan hampir RM12 juta sepanjang tiga hari penganjurannya.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, jumlah itu dijangka terus meningkat berikutan beberapa sesi padanan perniagaan dan urusan jualan berskala besar yang akan berlangsung sepanjang penganjuran MAHA.
“Nilai jualan berkenaan direkodkan setakat pukul 10 malam semalam, sekali gus menunjukkan sambutan menggalakkan terhadap penganjuran MAHA 2026.
“Hari ini dan esok akan berlaku peningkatan kerana matchmaking dan jualan-jualan besar ini akan diumumkan pada malam ini, malam esok dan seterusnya,” katanya sidang akhbar Majlis Peluncuran Pangkalan Data Nelayan (Padan) dan Majlis penyerahan Memorandum Persefahaman (MoU) Pemasaran ikan Sabah ke Semenanjung pada MAHA 2026, di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini hari ini.
Mohamad berkata, jumlah kenderaan yang memasuki kawasan MAHA setakat semalam mencecah 375,000 kenderaan, menunjukkan sambutan luar biasa pengunjung.
Katanya, jumlah berkenaan membuktikan penganjuran MAHA kali ini berjaya menarik kehadiran orang ramai dalam jumlah yang amat menggalakkan.
“Sambutan tersebut turut mencerminkan minat masyarakat terhadap pelbagai pengisian dan kemudahan yang disediakan sepanjang penganjuran MAHA kali ini.
“Kehadiran setakat ini amat memuaskan dan segala kesusahan atau ketidaksempurnaan itu memang kami akui ada dan kita cuba membantu sekadar yang boleh,” katanya.
Beliau berkata, pihak penganjur turut menambah kenderaan pengangkutan dalaman bagi memudahkan pergerakan pengunjung dari satu lokasi ke lokasi lain susulan jumlah kehadiran yang tinggi.
MAHA 2026 berlangsung sehingga Ahad ini menjadi platform menghimpunkan usahawan, pengusaha industri serta orang awam menerusi pelbagai aktiviti, pameran dan peluang perniagaan. – UTUSAN
The post MAHA 2026 catat RM12 juta jualan appeared first on Utusan Malaysia.






