Penukaran pam percepat aliran air, kurangkan tempoh banjir di Kampung Melayu Subang

8 Nov 2026 • 11:55 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Penukaran pam percepat aliran air, kurangkan tempoh banjir di Kampung Melayu Subang

SHAH ALAM, 8 NOV: Penukaran pam oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor membantu mempercepatkan aliran keluar air sekali gus mengurangkan tempoh limpahan banjir kilat di Kampung Melayu Subang susulan hujan lebat semalam.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Damansara, Izuan Kasim berkata hujan berterusan dengan taburan sehingga 70 milimeter dalam tempoh satu jam menyebabkan paras air sungai meningkat semula sebelum melimpah ke kawasan sekitar.

Image from: Penukaran pam percepat aliran air, kurangkan tempoh banjir di Kampung Melayu Subang
Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Damansara Izuan Kasim meninjau pemasangan pam air berkapasiti dua kali ganda di Jalan Resak, Kampung Melayu Subang pada 5 November 2026

Menurutnya, beberapa kawasan di Kampung Melayu Subang masih terjejas, khususnya kawasan rendah, namun keadaan banjir kali ini tidak seteruk kejadian terdahulu hasil beberapa penambahbaikan yang dilaksanakan.

Katanya, penukaran pam oleh JPS antara langkah yang membantu mempercepatkan proses pengaliran keluar air dan mengurangkan tempoh limpahan di kawasan terjejas.

“Selain itu, sebahagian kawasan Jalan Jati dan Jalan Rasah turut mengalami kesan limpahan air dari Seksyen U5 atau Jalan Tembusu," katanya kepada Media Selangor.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan penduduk, khususnya yang tinggal berhampiran sungai, supaya sentiasa memantau keadaan persekitaran dan mengawasi anak-anak bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Dalam perkembangan berkaitan, JPS Selangor memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi risiko banjir menerusi penempatan pam bergerak di kawasan berisiko di seluruh negeri.

Image from: Penukaran pam percepat aliran air, kurangkan tempoh banjir di Kampung Melayu Subang
Pam air baharu berkapasiti dua kali ganda dipasang di Jalan Resak, Kampung Melayu Subang pada 6 November 2026. Foto JPS

Media Selangor sebelum ini melaporkan sebanyak 141 pam air bergerak ditempatkan di kawasan panas banjir seluruh Selangor, selain 53 pam kekal yang beroperasi sebagai langkah persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).

Menurut JPS Selangor, setiap pam bergerak berkeupayaan mengepam antara 300 hingga 1,000 liter air sesaat, manakala pam sedia ada terus ditempatkan di kawasan berisiko bagi mempercepatkan proses pengaliran keluar air.

Bagi kawasan yang memerlukan bantuan tambahan, pam siap siaga boleh digerakkan dalam tempoh tiga hingga lima jam bergantung kepada jarak, keadaan tapak dan laluan masuk.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved