SUNGAI BULOH - Polis masih mengenal pasti identiti mayat lelaki yang dipercayai mangsa bunuh dan ditemukan dalam parit di Jalan Industri 7, Kampung Baru Sungai Buloh di sini, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya masih menunggu laporan Jabatan Kimia bagi membantu mengenal pasti identiti mangsa.
"Kes masih dalam siasatan, identiti mangsa masih belum dikenal pasti dan perlu menunggu laporan daripada Jabatan Kimia," katanya pada Khamis.
Media sebelum ini melaporkan mayat lelaki yang belum dikenal pasti identitinya ditemukan di dalam parit di Jalan Industri 7, Kampung Baru Sungai Buloh di sini, Sabtu lalu.
Mohd Hafiz berkata, penemuan mayat itu dimaklumkan orang awam sebelum anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menjalankan operasi mengeluarkannya dari parit.
Menurutnya, hasil bedah siasat mendapati terdapat unsur jenayah pada tubuh mangsa dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, beliau berkata, setakat ini belum ada tangkapan dibuat berhubung kes berkenaan.






