Identiti parti terus jadi pertaruhan

LocalPolitics
8 Aug 2026 • 8:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Identiti parti terus jadi pertaruhan

SELEPAS  kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kita telah memasuki fasa baharu dalam sejarah politik negara. 

Bermula dengan gelombang lompat parti membabitkan ahli Parlimen UMNO yang menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), landskap politik negara kemudiannya menyaksikan pelbagai episod luar jangka termasuk ketegangan politik, gerakan ‘tebuk atap’, Parlimen tergantung serta pelbagai situasi yang sebelum ini tidak pernah berlaku.

Keadaan politik berubah menjadi begitu dinamik termasuk berlakunya perpecahan demi perpecahan dalam parti-parti politik negara serta terbentuknya jajaran-jajaran baharu bagi mengoptimumkan kekuatan masing-masing.

Ramai melihat keadaan ini sebagai permulaan kepada suasana politik yang lebih segar, di mana rakyat sudah bertambah matang. 

Pengundi dilihat tidak lagi terikat kepada ideologi lama dan semakin bijak dalam mencapai maklumat sebelum membuat pilihan.

Justeru, sukar untuk meramalkan pendirian rakyat. Ketika Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dibubarkan pada Jun lalu, Pakatan Harapan (PH) yang memilih untuk bertanding secara solo dilihat cukup yakin mampu memperoleh semula mandat daripada rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16.

Namun, keputusan PRN tersebut mengejutkan banyak pihak, apatah lagi pemimpin dan penyokong PH yang mahu menebus kembali maruah mereka di tempat sendiri, setelah kalah teruk pada PRN Johor bulan lalu.

Tidak lama selepas ini pula, kita bakal berhadapan dengan PRN Melaka Ke-16 memandangkan DUN Melaka sudah menghampiri tempohnya. Malah, telah kedengaran ura-ura bahawa DUN Melaka mungkin akan dibubarkan pada bulan ini atau September.

Hal ini amat menarik kerana perhimpunan utama parti-parti tonggak PH dan BN juga akan berlangsung pada Ogos dan September.

 DAP akan mengadakan konvensyennya pada 16 Ogos, sementara pada 15 dan 16 Ogos akan berlangsung Konvensyen PKR pula. Manakala Perhimpunan Agung UMNO (PAU) dijadualkan berlangsung daripada 9 hingga 12 September. 

DAP memberi mandat kepada para perwakilan konvensyen ini menentukan sama ada ahli Parlimen mereka patut kekal berada dalam kerajaan persekutuan setelah prestasi parti tersebut berterusan merosot dalam tiga PRN berturut-turut, iaitu di Sabah, Johor dan Negeri Sembilan.

Walaupun DAP kehilangan kesemua kerusi dalam PRN Sabah, namun di Johor dan Negeri Sembilan, parti itu menjadi penyumbang terbesar kerusi DUN untuk PH. 

Namun, kekalahan Anthony Loke di DUN Chennah kepada Ketua Pemuda MCA, Siow Kong Choon telah memberi tamparan hebat kepada parti itu dan juga PH, terutamanya apabila Setia Agungnya  juga merupakan Timbalan Pengerusi PH Negeri Sembilan.

Seorang lagi nama besar yang turut kalah dalam PRN tersebut ialah Pengerusi PH Negeri Sembilan merangkap Naib Presiden PKR, Datuk Seri  Aminuddin Harun. Beliau yang ketika itu menyandang jawatan Menteri Besar kalah kepada calon BN di DUN Linggi.

Corak pengundian dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan  menggambarkan landskap politik tempatan yang unik dan mungkin tidak mudah difahami oleh pemerhati luar.

 Lebih kompleks lagi, kedua-dua negeri ini sangat kaya dengan adat dan budaya yang tersendiri.

Pengalaman dan kebijaksanaan amat penting dalam menyusun strategi politik bagi menguatkan parti dalam suasana yang sentiasa berubah. Sebagai contoh, dalam masa lapan tahun sahaja, sejarah politik negara telah melalui beberapa fasa secara begitu pantas. 

BN sebagai gabungan parti yang paling lama ditubuhkan, telah melalui saat paling bawah setelah kalah dalam PRU14dan PRU15. Belajar daripada kejatuhan, kini BN dilihat lebih teliti ketika melangkah walaupun setelah berjaya membawa gelombang biru ke Negeri Sembilan.

Kekuatan BN terletak kepada semangat dan identiti gabungan yang kuat yang menyatukan ketiga-tiga parti utamanya iaitu UMNO, MCA dan MIC sejak  1955, ketika parti Perikatan diasaskan. 

PH pula merupakan gabungan yang lebih baharu dan melalui beberapa fasa penjenamaan yang berbeza-beza, bermula dengan Barisan Alternatif pada 1998. Namun, mereka tidak bertanding di bawah lambang Barisan Alternatif mahupun penerusnya, Pakatan Rakyat.

Sebaliknya, mereka menggunakan lambang masing-masing, sehinggalah pada PRU14, apabila calon-calonnya bertanding menggunakan logo PKR, sebelum menggunakan logo PH selepas PRU tersebut.

Walaupun setia bersama, anggota PH dilihat lebih selesa membawa identiti masing-masing ketika berkempen, sehinggakan sukar untuk mereka bergerak secara seragam di bawah satu identiti gabungan.

 Hal ini turut diakui Anthony  sendiri yang mengingatkan anggotanya untuk tidak membawa penjenamaan parti komponen semasa berkempen di Negeri Sembilan.

Walaupun PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah)  ketiga-tiganya membawa ideologi progresif, namun masing-masing mempunyai aliran tersendiri dan kadangkala tidak dapat menemui jalan seiring dalam menentukan ideologi politik yang sama.

Hal ini tidak ketara ketika menjadi pembangkang tetapi begitu berbeza apabila menjadi sebahagian daripada kerajaan bilamana mereka terpaksa bekerja keras menjaga kestabilan negara dan bukan hanya memuaskan hati kelompok masing-masing.

Maka, apakah kesannya kepada gabungan ini jika DAP benar-benar keluar daripada kerajaan persekutuan? 

Walaupun hal tersebut baik untuk menguatkan semula DAP, namun ia akan melemahkan lagi identiti PH dan menimbulkan pelbagai persoalan kepada penyokong mereka.

 

Image from: Identiti parti terus jadi pertaruhan
SETIAP parti perlu membuktikan mereka bukan sekadar mampu memenangi pilihan raya tetapi juga memahami mengapa rakyat memilih mereka.

 

TIADA BEZA

Keadaan ini agak mirip dengan Perikatan Nasional (PN) yang ditubuhkan seolah-olah sebagai alternatif kepada BN tetapi kini menghadapi krisis identiti.

Bermula dengan keputusan mereka untuk menggunakan lambang Pas dalam PRN di Kelantan dan Terengganu pada 2023, jelas sekali jenama PN belum benar-benar terpahat di jiwa mereka dan laris untuk dipasarkan.

Kini, parti-parti utamanya Pas dan Bersatu menghadapi masalah dalaman sehinggakan ada yang berpecah menubuhkan Parti Wawasan Negara (Wawasan), menimbulkan lebih banyak persoalan tentang peranan bercanggah Bersatu dan Wawasan, serta peranan PN dalam politik negara secara amnya. Adakah mereka masih gabungan alternatif kepada BN, atau akankah mereka mencari identiti baharu?

Pentas politik negara akan tetap hangat sehingga PRU16, dan Melaka bakal menyaksikan babak seterusnya. Tarikh 16 Ogos juga dinanti-nantikan dan akan membawa jawapan kepada segala persoalan tentang masa depan PH yang akan membawa dampak kepada landskap negara.-UTUSAN

 

PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

The post Identiti parti terus jadi pertaruhan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved