
KUALA TERENGGANU: Parti Wawasan Negara Terengganu membuka pintu kepada pemimpin dan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang meletak jawatan sekiranya mereka mahu meneruskan perjuangan politik bersama wadah baharu yang inklusif.
Penyelaras Parti Wawasan Negara Terengganu, Datuk Abdul Aziz Ismail berkata, wadah perjuangan politik itu menekankan gagasan Konsensus Nasional Baharu sebagai falsafah perjuangan.
Katanya, keterbukaan itu lahir daripada keyakinan bahawa politik Malaysia perlu bergerak melangkaui perbezaan dalaman atau pergolakan semasa dengan melihat kepada gambaran lebih besar iaitu masa depan rakyat dan negara.
“Malah, ia bertepatan dengan jiwa besar Presiden Wawasan Negara, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang mengajak rakan-rakan pimpinan Bersatu yang telah berhenti untuk berjuang bersama Wawasan Negara ketika Mesyuarat Khas Perwakilan parti malam tadi,” katanya.
Menurut Abdul Aziz, sebagai parti yang menjadi jambatan penyatuan, Wawasan Negara mahu membuka ruang untuk menyatukan pengalaman, tenaga dan kekuatan semua pihak yang percaya bahawa politik Malaysia memerlukan pendekatan lebih matang, inklusif dan berteraskan kepentingan rakyat.
Terdahulu, Bersatu Terengganu dilapor berdepan krisis kepemimpinan apabila Ketua Badan Pimpinan negeri, Datuk Razali Idris mengumumkan meletak jawatan yang diikuti dua lagi pemimpin kanan parti berkenaan.
Dua lagi pemimpin kanan Bersatu Terengganu iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Mohd. Zawawi Ismail dan ADUN Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin turut mengumumkan peletakan jawatan masing-masing sebagai Ketua Penerangan dan Bendahari Bersatu negeri. – UTUSAN
The post Parti Wawasan Negara buka pintu pemimpin, ahli Bersatu yang letak jawatan appeared first on Utusan Malaysia.






