IHH Healthcare tutup anak syarikat di China selepas empat tahun hentikan operasi

LocalBusiness & Finance
10 Jul 2026 • 5:50 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

IHH Healthcare tutup anak syarikat di China selepas empat tahun hentikan operasi Image from: IHH Healthcare tutup anak syarikat di China selepas empat tahun hentikan operasi amree10/07/2026 - 17:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 10 JulaiIHH Healthcare Berhad memutuskan untuk menutup secara sukarela anak syarikat tidak langsungnya di China yang sudah pun lama menghentikan operasinya sejak 2022.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, proses pembubaran ini dijangka hanya melibatkan kerugian sekitar RM67,000 tanpa menjejaskan prestasi kewangan atau operasi syarikat.

 

Ujarnya, Suzhou Industrial Park Yuan Hui Health Consulting Co Ltd (SIP) memperoleh kelulusan daripada pemegang saham tunggalnya pada 10 Julai 2026 untuk memulakan proses pembubaran sukarela.

 

"Langkah penutupan subsidiari tidak aktif berkenaan akan dilaksanakan dengan segera berdasarkan keperluan Artikel 229 Undang-Undang Syarikat Republik Rakyat China," jelas IHH Healthcare lagi.

 

SIP merupakan anak syarikat Parkway (Shanghai) Hospital Management Ltd sebelum dimiliki sepenuhnya oleh PCH Holding Pte Ltd, sebuah subsidiari tidak langsung yang dipegang 70.1% oleh kumpulan itu.

 

Syarikat tersebut diperbadankan di China pada 29 Mei 2013 dengan menjalankan perniagaan khusus yang menyediakan pelbagai perkhidmatan perubatan serta aktiviti penjagaan kesihatan pesakit luar.

 

Menurut IHH Healthcare, SIP didapati sudah menghentikan operasinya sejak 1 April 2022 dan pihak syarikat berkenaan turut muktamad tidak lagi berhasrat untuk berusaha mengaktifkan semula operasi tersebut.

 

"Sehubungan itu, pemegang saham tunggal SIP berkenaan akhirnya bersetuju untuk segera melaksanakan proses pembubaran bagi menamatkan kewujudan subsidiari tersebut secara rasmi," tambahnya.

 

Kumpulan itu berkata, langkah pembubaran anak syarikat berkenaan tidak akan memberi sebarang kesan terhadap modal saham terbitan syarikat atau pun pegangan saham pemegang saham utama kumpulan.

 

Kata IHH Healthcare, langkah itu juga tidak memberi apa-apa kesan material terhadap hasil dan aset bersih bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 serta tidak menjejaskan operasi perniagaan.

 

Jumlah kos pelaburan dibuat dalam SIP setakat tarikh pengumuman adalah RM12.49 juta, manakala kerugian yang dijangka timbul daripada proses pembubaran tersebut hanyalah sekitar RM67,000.

 

"Tiada mana-mana pengarah, pemegang saham utama atau individu yang ada kaitan mempunyai kepentingan, sama ada langsung atau tidak langsung, dalam urusan pembubaran ini," katanya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved