johardy29/05/2026 - 18:31 Hartanah milik IJM Properties di Utama Place 3, Bandar Utama Sandakan. Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 29 Mei - IJM Corporation Bhd menerusi anak syarikat milik tidak langsung sepenuhnya, IJM Properties Sdn Bhd, mencadangkan pelupusan sebuah tanah bersama bangunan satu tingkat dengan mezzanine di Sandakan, Sabah pada harga RM47.5 juta.
Hartanah berkenaan yang terletak di Utama Place 3, Bandar Utama Sandakan, kini disewakan sebagai premis pasar raya besar dan dijual kepada Coupang Sdn Bhd, syarikat pemegang aset bagi Kumpulan Econsave.
Hartanah tersebut mempunyai keluasan tanah kira-kira 9,518 meter persegi.
Menurut makluman di Bursa Malaysia, nilai aset itu direkodkan pada nilai buku bersih RM12.02 juta, manakala nilai pasaran terkini dianggarkan RM33.6 juta setakat 31 Mac 2025.
IJM menjangkakan keuntungan kira-kira RM34 juta daripada pelupusan tersebut.
Syarikat itu memaklumkan, cadangan pelupusan ini bertujuan membolehkan kumpulan menjana semula nilai daripada aset berkenaan serta mempertingkat kecekapan peruntukan modal, selain mengukuhkan kedudukan mudah tunai, aliran tunai dan pengurusan modal.
Daripada hasil jualan RM47.5 juta itu, sebanyak RM46 juta akan digunakan untuk modal kerja kumpulan, manakala RM1.5 juta diperuntukkan bagi kos berkaitan urus niaga.
Cadangan pelupusan itu dijangka selesai pada suku ketiga tahun ini. - DagangNews.com






