TERENGGANU bakal mencatat satu lagi detik bersejarah apabila negeri itu menjadi tuan rumah kepada Ijtima’ Antarabangsa Perpaduan Ummah & Himpunan Alam Melayu 2026 yang sedang berlangsung dari 2 hingga 4 April ini.
Program bertaraf antarabangsa itu adalah sebuah medan besar yang menghimpunkan ulama, ilmuan, pemimpin, tokoh budaya, aktivis, belia dan masyarakat dari seluruh Alam Melayu dalam usaha memperkukuh perpaduan ummah dan mengangkat kembali jati diri Melayu-Islam.
Dianjurkan oleh kerajaan negeri, program tersebut merupakan antara acara terbesar Terengganu sempena Tahun Melawat Malaysia 2026. Ia bakal berlangsung di perkarangan Kompleks Sukan Negeri Terengganu serta Hotel Raia, Kuala Terengganu, dengan pelbagai pengisian yang merangkumi forum, syarahan, pameran, persembahan budaya, meja bulat, aktiviti wanita, belia dan kanak-kanak.
Apa yang menjadikan program itu istimewa ialah skala dan kepelbagaian tokoh yang terlibat. Selain nama-nama besar dari Malaysia, antara yang dijangka hadir ialah tokoh-tokoh dari Acheh, Pattani, Brunei, Singapura, Vietnam, Sri Lanka dan Iran, selain ramai sarjana dan pemimpin serantau.
Kehadiran tokoh dari pelbagai negara tersebut membuktikan bahawa Alam Melayu masih mempunyai jaringan persaudaraan dan kekuatan ketamadunan yang besar.
Program bermula pada 2 April dengan perasmian Karnival Alam Melayu dan Ketamadunan Islam oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Karnival tersebut menampilkan pameran sejarah, warisan dan budaya Melayu-Islam di mana orang ramai berpeluang melihat pelbagai bahan pameran yang disediakan bersama Muzium Negeri Terengganu, selain menikmati gerai jualan, produk tempatan dan suasana karnival yang meriah.
Penganjuran pameran amat penting kerana ia bukan sahaja mengangkat sejarah bangsa, tetapi mengingatkan generasi muda tentang akar budaya dan identiti mereka yang semakin terhakis akibat arus globalisasi.
Pada petang hari yang sama, satu sesi Bicara Wanita Alam Melayu akan diadakan dengan menampilkan tokoh wanita dari Indonesia dan Brunei, Hj Illiza Sa’aduddin Djamal dan Dayang Dr Hajah Ummi Fa’izah.
Sesi berkenaan memperlihatkan bahawa agenda perpaduan ummah bukan hanya melibatkan golongan ulama dan pemimpin lelaki, tetapi turut mengiktiraf peranan wanita dalam membina keluarga, masyarakat dan tamadun.
Selain itu, terdapat juga pelbagai aktiviti khusus untuk belia seperti pertandingan sepak raga, wau, dam aji, congkak, bola jaring, batu seremban dan memanah.
Aktiviti itu penting kerana ia menghidupkan semula permainan tradisional Melayu yang semakin dilupakan, di samping mendekatkan generasi muda kepada budaya warisan mereka.
Malam pertama program pula dijangka menjadi antara acara paling mendapat perhatian apabila berlangsungnya Forum Maghrib Khas dan Malam Melayu Berselawat.
Ribuan peserta dijangka hadir bagi mendengar perkongsian Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah dan Shah Kirit Kalkulal Govindji, sebelum diteruskan dengan tausiyah dan selawat bersama Tuan Guru-Tuan Guru Pondok terkenal dari Acheh, Terengganu, Kelantan, Kedah dan Pahang.
Pengisian seperti itu memberi impak besar kepada masyarakat kerana ia bukan sahaja menyuburkan kerohanian, tetapi mengeratkan hubungan antara umat Islam dari pelbagai latar belakang.
**media[3478990]**
Hari kedua pula memberi tumpuan kepada aspek pemikiran, keluarga dan identiti Alam Melayu. Kuliah khas oleh Tan Sri Abdul Hadi Awang dan ucapan wakil Palestin di Malaysia, Dr Muslim Imran dijangka menarik perhatian ramai kerana menyentuh isu semasa dunia Islam serta cabaran umat pada hari ini.
Dalam keadaan dunia berdepan konflik, perpecahan dan pengaruh budaya asing, program tersebut memberi mesej bahawa umat Islam di rantau ini perlu kembali kepada kekuatan ilmu, kesatuan dan jati diri.
Kemuncak hari kedua ialah Himpunan Alam Melayu 2026 yang menampilkan persembahan seni silat, pidato tokoh Melayu serantau dan pelbagai persembahan budaya.
Kehadiran Profesor Muhammad Aladee Haji Zakariya (Pattani), Datuk Kiam Radja Tuan Guru Profesor Dr Fekry Juliansyah (Acheh), Profesor Dr Syed Khairuddin Al Junaid (Singapura) dan Nik Mansour Nik Abdul Halim (Vietnam) sangat signifikan kerana ia menunjukkan bahawa dunia Melayu melangkaui sempadan negara. Walaupun dipisahkan oleh geografi dan politik, masyarakat Melayu di rantau ini masih berkongsi bahasa, budaya, sejarah dan nilai yang sama.
Program itu secara langsung menghidupkan semula kesedaran tentang pentingnya hubungan serantau dan solidariti Melayu Nusantara.
Pada malamnya, orang ramai berpeluang mendengar pidato khas oleh Pengasas Islamic Research Foundation, Dr Zakir Abdul Karim Naik sebelum dihiburkan dengan Malam Kesenian Alam Melayu yang menampilkan dua kumpulan nasyid terkenal iaitu InTeam dan Soutul Amal selain persembahan dikir barat Kelantan.
Dalam era hiburan moden yang sering dipengaruhi budaya luar, program ini memperlihatkan bahawa seni tradisional dan kesenian Islam masih mampu menarik minat masyarakat, khususnya golongan muda.
Kemuncak program akan berlangsung pada hari terakhir ijtimak. Ia bermula dengan Konvoi Motosikal SG4 yang melibatkan empat Menteri Besar negeri-negeri SG4, Terengganu, Kedah, Kelantan dan Perlis pada sebelah paginya sebelum diteruskan dengan majlis Perasmian Ijtimak & Syarahan Pimpinan Antarabangsa oleh Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Program Syarahan Pimpinan Antarabangsa turut dijangka menarik perhatian kerana menghimpunkan tokoh-tokoh politik, agama dan masyarakat yang berpengaruh. Antaranya termasuk Duta Besar Republik Islam Iran ke Malaysia, Vaiollah Mohammadi Nasrabadi dan Konfrensi Melayu Sri Lanka (Coslam), Khaludeane Azoor.
Pada sebelah petangnya pula akan berlangsung Wacana Alam Melayu & Ketamadunan Islam yang menampilkan Prof Dr Kamaruzzaman Bustaman Ahmad dari Indonesia, Prof Dr Anuar M Radiamoda (Filipina) dan Prof Dr Solehah Yaacob (Malaysia) sebagai panelis. Ini akan diikuti oleh Bicara Santai Anak Muda bersama Murabbi Sejuta Ummah yang menampilkan Ustaz Azhar Idrus sebagai pembicara.
Lebih menarik, pada malam penutup akan berlangsung Pidato Perdana Penyatuan Ummah Malaysia yang menghimpunkan tokoh-tokoh besar negara termasuk rakaman ucapan khas oleh Tun Dr Mahathir Mohamad selain pidato oleh beberapa pemimpin utama negara.
Selain impak dari sudut budaya dan perpaduan, program ini juga dijangka memberi kesan besar kepada ekonomi negeri Terengganu. Kehadiran ribuan peserta dari dalam dan luar negara akan meningkatkan kadar penginapan hotel, penggunaan pengangkutan, restoran, gerai jualan dan sektor pelancongan setempat.
Lebih penting lagi, program itu dijangka memberi impak strategik dari sudut pemikiran dan masa depan umat. Melalui sesi meja bulat di Hotel Raia pada petang hari terakhirnya, para ulama dan ilmuan akan membincangkan isu-isu besar seperti pengurusan perbezaan mazhab, kepimpinan Islam di ASEAN, pembinaan ekonomi Muslim dan usaha memperkukuh jati diri Melayu-Islam serantau.
Perbincangan ini boleh menjadi asas kepada pembentukan dasar, jaringan kerjasama dan hala tuju baharu untuk umat Islam di rantau ini.
Ringkasnya, Ijtima’ Antarabangsa Perpaduan Ummah & Himpunan Alam Melayu 2026 merupakan satu usaha besar untuk menyatukan kembali umat, memperkukuh hubungan serantau dan mengangkat semula maruah serta jati diri Alam Melayu di pentas antarabangsa.
Dalam dunia yang semakin berpecah oleh ideologi, politik dan pengaruh asing, program ini membawa satu mesej yang amat penting bahawa umat Melayu-Islam masih mampu bersatu, berdiri teguh dan membina masa depan yang lebih kuat apabila mereka kembali berpaut kepada akar sejarah, ilmu dan persaudaraan.
*Ahmad Fahmi Mokhtar ialah Ketua Jabatan Komunikasi Strategik, Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
