PN sedia pertimbang kemasukan parti baharu, keputusan di tangan Majlis Presiden

LocalPolitics
2 Apr 2026 • 1:41 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Razali (kiri) ketika menghadiri Majlis Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 1447H/2026M di pekarangan Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Kuala Nerus pada Khamis.

​KUALA NERUS - Perikatan Nasional (PN) terbuka kepada mana-mana pihak yang berhasrat menyertai gabungan itu, namun keputusan akhir tertakluk kepada budi bicara Majlis Presidennya.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, setiap permohonan perlu melalui proses penilaian teliti oleh kepimpinan tertinggi gabungan itu.

​"Sebenarnya semua parti boleh mohon untuk masuk PN, tetapi yang membuat keputusan adalah Ahli Majlis Tertinggi PN.

​"Jika dikira, kita sudah mempunyai banyak parti Melayu. Kita sedang berusaha menyatukan orang Melayu dalam PN, namun pada masa sama, kita juga mempunyai komponen bukan Melayu seperti Gerakan dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan mengenai desas-desus penubuhan parti baharu oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang dikatakan bakal memohon untuk menyertai PN dalam masa terdekat.

Razali sebelum itu menghadiri Majlis Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 1447H/2026M di pekarangan Kompleks Sukan Negeri Terengganu di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut, beliau berkata tiada halangan untuk mana-mana individu menubuhkan wadah politik baharu, namun mempersoalkan hala tuju serta asas perjuangan tindakan berkenaan.

​"Sama ada perkara ini sudah dirancang atau sekadar niat, saya tidak pasti kerana beliau belum mempunyai parti lagi.

​"Sekarang ini kita tahu ke mana hala tuju beliau? Dia membuat kajian demi kajian dan perkara ini nampak berpanjangan. Dia masuk ke satu bahagian, kemudian meminta pihak lain keluar, semuanya atas alasan tersendiri," ujarnya.

Dalam pada itu, ​beliau turut melahirkan rasa simpati terhadap ahli-ahli yang terlibat kerana ketiadaan platform yang jelas buat masa ini.

​"Sepatutnya sediakan satu platform terlebih dahulu, sama ada parti atau sebaliknya. Kasihan kepada ahli-ahli yang tidak tahu ke mana hendak dibawa dengan tindakan sebegini," katanya lagi.

Razali berkata, tindakan menubuhkan parti baharu hanya kerana gagal dalam persaingan jawatan dalam parti asal dilihat sebagai satu langkah yang tidak matang dan kurang berasas.

​Beliau mengambil contoh tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin keluar daripada UMNO dahulu yang mempunyai asas perjuangan yang kukuh berkaitan isu 1MDB sehingga akhirnya terbukti benar.

​"Namun dalam situasi ini, apa sebenarnya yang ingin diperjuangkan? Jika tidak berjaya mendapatkan jawatan presiden, adakah wajar untuk menubuhkan parti baharu?

"Situasi ini dilihat hampir sama dengan penubuhan Amanah. Tidak sepatutnya perkara seperti ini berulang kerana ia dilihat tidak matang," tambahnya.

​Sebelum ini, bekas Ketua Bahagian Bersatu Kepala Batas, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq memaklumkan sebuah parti baharu yang bakal diterajui Hamzah akan memohon menyertai PN selepas diumumkan secara rasmi kelak.

​Langkah itu dijangka bakal memperkukuh kedudukan blok pembangkang tersebut dalam menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang.