KUALA NERUS - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang dikatakan bakal menerajui sebuah parti baharu disarankan agar menyertai gabungan politik yang lebih kukuh bagi memperkasakan blok pembangkang ketika ini.
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, langkah menyertai gabungan besar seperti Perikatan Nasional (PN) adalah strategi paling tepat untuk memastikan parti baharu tersebut mempunyai kedudukan yang stabil.
"Langkah menubuhkan parti baharu boleh menjadi strategi tepat, tetapi ia tidak mampu berdiri sendiri tanpa sokongan gabungan besar. Dalam kalangan pembangkang, PN adalah gabungan paling kuat dan sesuai untuk disertai," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026 di Stadium Gong Badak, di sini pada Khamis.
Shahidan yang juga Pengerusi PN Perlis menjelaskan, walaupun Hamzah mempunyai pilihan untuk menyertai parti sedia ada seperti Pas, penubuhan wadah baharu dilihat memberi ruang lebih luas untuk membawa pengaruh tersendiri.
"Jika benar terdapat sokongan sehingga 19 Ahli Parlimen, ia sudah cukup kuat untuk menubuhkan parti baharu. Namun, untuk menjadi lebih stabil, ia tetap memerlukan masa serta strategi tersusun.
"Penyertaan dalam PN akan mengukuhkan kedudukan parti baharu itu dan sekali gus memperkuat blok pembangkang," ujarnya.
Terdahulu, bekas Ketua Bahagian Bersatu Kepala Batas, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq mendedahkan, parti baharu tersebut akan memohon menyertai PN secara rasmi dalam masa terdekat, sekali gus dijangka memperkukuh kedudukan gabungan itu menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Shahidan menegaskan konsep 'Rumah Bangsa' yang diuar-uarkan sebelum ini harus dilihat sebagai platform penyatuan ummah dan bukannya bermaksud menyertai semula UMNO.
Beliau berkata, penyertaan mana-mana individu atau kumpulan ke dalam UMNO tidak sepatutnya dicampuradukkan dengan maksud sebenar agenda penyatuan bangsa.
"Rumah Bangsa ialah penyatuan ummah, itu yang saya faham. Masuk UMNO itu bukan Rumah Bangsa.
"Jika ada yang masuk UMNO, itu hak mereka, mungkin untuk bertanding pilihan raya, tetapi ia tidak mewakili konsep penyatuan ummah yang sebenar," katanya.
Tambah beliau, sokongannya terhadap inisiatif Rumah Bangsa adalah bersyarat kepada fokus perpaduan Melayu secara menyeluruh, bukannya atas kepentingan kepartian semata-mata.
"Kalau Rumah Bangsa itu benar-benar untuk penyatuan ummah, saya sokong. Kalau Rumah Bangsa itu nak masuk UMNO, itu hak kamu," katanya lagi.
