Ikan kedua dipercayai spesies Red-bellied Piranha didakwa ditemui di Sungai Klau

LocalEnvironment
18 Sep 2026 • 11:42 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Ikan kedua dipercayai spesies Red-bellied Piranha didakwa ditemui di Sungai Klau
Ikan kedua dipercayai dari spesies Red-bellied Piranha yang didakwa ditemui seorang pemancing di Sungai Klau, Raub baru-baru ini. FOTO FB JEJAK AIR TAWAR

KUANTAN- Ikan kedua dipercayai dari spesies Red-bellied Piranha (Pygocentrus nattereri) didakwa ditemui seorang pemancing di Sungai Klau, Raub baru-baru ini.

Penemuan itu dikongsi melalui hantaran Facebook Jejak Air Tawar.

Berdasarkan hantaran tersebut, pihak yang menemui spesimen kedua itu telah dihubungi dan menyerahkan beberapa rakaman gambar serta video untuk rujukan.

Menurut admin page berkenaan, setelah meneliti spesimen di dalam rakaman, ia spesies yang sama dengan spesimen pertama yang ditemui pada bulan lalu.

"Ini bermakna, bukan seekor Red-bellied Piranha dilepaskan di Klau sebaliknya berdasarkan pengalaman saya dalam isu ikan pendatang, ia telah dilepaskan dalam satu kumpulan, cuma tidak tahu ada berapa ekor.

"Berdasarkan kedudukan lokasi ini sebelum memasuki tadahan air Empangan Klau, sama ada ikan ini dilepaskan di sungai atau dilepaskan di kawasan empangan dan ia mudik ke arah hulu sungai. Jika dilepaskan di sungai, lokasi pelepasan yang saya sasarkan adalah sekitar Felda Klau-RTP- Kampung Sungai Klau," ujarnya.

Katanya lagi, sama ada populasi ikan itu telah berkembang biak juga tak boleh sahkan kerana ikan seperti Red-bellied Pacu setakat ini tiada yang dikesan berjaya membiak walaupun invasif, manakala Red-bellied Piranha pula yang berada dalam keluarga yang sama (Serrasalmidae) diketahui lebih sensitif berbanding Red-bellied Pacu, perlukan parameter air dan habitat yang benar-benar sesuai.

"Tapi disebabkan kedua-duanya di bawah genus yang berbeza (Pygocentrus vs Piaractus) dan berevolusi dengan mekanisme yang sedikit berbeza, saya tidak menolak jika Red-bellied Piranha mampu membiak di Sungai Klau, kerana dari segi iklim di negara asalnya tidak banyak berbeza, cuma ekosistem sungai berbeza," ujarnya.

Menurut hantaran itu lagi, saiz kedua-dua spesimen nampak sekata, seperti populasi yang sama baru dilepaskan. Jika spesimen dengan saiz berbeza-beza ditemui, itu perlukan perhatian selanjutnya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan Pahang Roslan Abu Hasan ketika dihubungi memberitahu pihaknya sedia maklum berhubung dakwaan penemuan ikan asing itu.

Beliau berkata, pihaknya cuba menghubungi pengendali akaun Facebook terbabit dan mengesan pemancing yang menemui ikan tersebut bagi membantu siasatan.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved