MELAKA – Baru tiga jam berkenalan menerusi aplikasi sosial, seorang lelaki dipercayai mengajak seorang wanita bersarapan sebelum membawanya ke sebuah bilik sewa di Sungai Udang di sini pada Khamis.
Sumber Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) memaklumkan, kedua-dua individu berusia 21 dan 20 tahun itu mula berkenalan menerusi aplikasi sosial pada jam 8 pagi.
Menurutnya, lelaki berkenaan kemudian mengajak wanita itu bersarapan sebelum mereka pergi ke sebuah bilik sewa sekitar jam 11 pagi, dipercayai bagi melakukan perbuatan tidak bermoral.
“Pergerakan mencurigakan kedua-dua individu itu bagaimanapun berjaya dikesan sebelum mereka ditahan oleh seorang imam bersama anggota polis di sekitar Sungai Udang.
“Kedua-duanya kemudian diserahkan kepada JAIM untuk tindakan lanjut,” katanya.
Dalam pada itu, JAIM memaklumkan perkongsian mengenai kejadian seumpama itu dibuat bukan bertujuan membuka aib mana-mana pihak, sebaliknya sebagai peringatan dan pendidikan kepada masyarakat supaya lebih peka terhadap keadaan sekeliling.
Ibu bapa juga dinasihatkan supaya memantau penggunaan telefon dan aplikasi sosial oleh anak masing-masing bagi memastikan keselamatan serta pergaulan mereka sentiasa berada dalam perhatian.





