IKEA Sarawak mula operasi pada 27 November 2026, harga sama seperti Semenanjung

LocalHome & Living
28 Oct 2026 • 10:40 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

IKEA Sarawak mula operasi pada 27 November 2026, harga sama seperti Semenanjung Image from: IKEA Sarawak mula operasi pada 27 November 2026, harga sama seperti Semenanjung liza28/10/2026 - 10:40 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 28 Okt – IKEA Malaysia akan membuka gedung fizikalnya di Kuching, Sarawak pada 27 November 2026 dengan menawarkan harga produk dan perkhidmatan yang sama seperti di Semenanjung Malaysia.

 

Gedung yang terletak di Pines Mall, Batu Kawa itu akan membawa pengalaman membeli-belah IKEA ke Sarawak buat pertama kali dan menjadi gedung berformat kecil pertama syarikat itu di Malaysia.

 

Pembukaannya direka dalam format lebih kompak berbanding gedung utamanya di Damansara, Cheras, Tebrau dan Batu Kawan, namun masih mengekalkan pengalaman membeli-belah IKEA yang merangkumi inspirasi kediaman, ruang pameran, produk serta perkhidmatan perancangan.

 

Pelanggan boleh mendapatkan barangan terpilih untuk dibawa pulang serta-merta, manakala rangkaian produk yang lebih luas boleh ditempah untuk diambil sendiri atau dihantar ke rumah.

 

Produk yang ditawarkan merangkumi keperluan ruang tamu, bilik tidur, ruang makan, dapur, penyimpanan dan ruang kanak-kanak, termasuk reka bentuk ikonik IKEA seperti rak buku BILLY, unit rak KALLAX, kerusi santai POÄNG dan rangkaian produk 365+.

 

Pengarah Runcit Negara IKEA Malaysia, Takeshi Murai berkata, pembukaan itu membuktikan usaha syarikat untuk mendekati lebih ramai pengguna dan menyediakan penyelesaian kediaman yang sesuai dengan keperluan mereka.

 

Harga sama dengan Semenanjung

Beliau berkata, IKEA mahu membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia mendapatkan inspirasi, meneroka idea dan memilih kelengkapan rumah yang menggabungkan reka bentuk, fungsi serta kualiti pada harga mampu milik.

 

"Penawaran harga yang sama seperti di Semenanjung Malaysia merupakan sebahagian daripada komitmen IKEA untuk memastikan produk kelengkapan rumah yang direka dengan baik dapat dinikmati oleh lebih ramai pengguna.

 

"Syarikat akan terus memberi tumpuan kepada pemahaman terhadap cara hidup masyarakat dan menyediakan nilai dalam kehidupan harian mereka menerusi produk yang memenuhi keperluan serta kemampuan pelanggan," katanya dalam satu kenyataan.

 

Tawar makanan IKEA dan manfaat keahlian

Selain kelengkapan rumah, IKEA Kuching turut menawarkan pilihan makanan menerusi konsep makanan yang mudah dibawa (grab-and-go), bersesuaian dengan format gedung yang lebih kecil.

 

Antara pilihan yang ditawarkan ialah bebola daging IKEA, karipap, hot dog dan aiskrim lembut, selain produk makanan Sweden untuk dibawa pulang.

 

Pelanggan juga boleh menyertai IKEA Family, program keahlian pelanggan IKEA yang menawarkan manfaat keahlian, tawaran terpilih dan pengalaman istimewa sepanjang tahun.

 

Bagi memeriahkan pembukaan gedung itu, IKEA Malaysia akan menganjurkan pelbagai aktiviti sepanjang hujung minggu pembukaan dari 27 hingga 29 November 2026. Maklumat lanjut mengenai aktiviti dan tawaran IKEA Family akan diumumkan menjelang pelancaran.

 

IKEA Malaysia merupakan sebahagian daripada Ikano Retail, salah satu daripada 12 pemegang francais IKEA di seluruh dunia. Ikano Handel Sdn Bhd memiliki dan mengendalikan empat gedung omnichannel IKEA di Malaysia, iaitu IKEA Damansara, IKEA Cheras, IKEA Tebrau dan IKEA Batu Kawan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved