hamden28/10/2026 - 18:24 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 28 Okt - Titijaya Land Bhd menerusi anak syarikat milik penuhnya, Aman Duta Sdn Bhd (ADSB) dan City Meridian Development Sdn Bhd (CMD), memeterai perjanjian jual beli bersyarat dengan Pelaburan Hartanah Bhd (PHB) bagi melupuskan Penang Logistics Hub 5 di Bayan Lepas, Pulau Pinang pada harga kira-kira RM300 juta.
Titijaya dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, perjanjian berkenaan dimeterai pada 28 Oktober 2026 bagi pelupusan tanah pegangan pajakan berkeluasan kira-kira 28,562.8 meter persegi, bersamaan 7.06 ekar, bersama kompleks komersial logistik tiga tingkat yang dibina khas di atasnya.
Kompleks berkenaan mempunyai keluasan lantai kasar kira-kira 300,726 kaki persegi dan beralamat di No. 2, Persiaran Bayan Lepas, 11960 Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Hartanah itu kini digunakan sebagai kemudahan logistik yang disewakan kepada DHL Properties (Malaysia) Sdn Bhd menerusi perjanjian penyewaan yang berakhir pada 14 Oktober 2034.
Tanah berkenaan mempunyai tempoh pegangan pajakan sehingga 2 April 2095, dengan baki tempoh kira-kira 68 tahun.
Modal untuk pertumbuhan masa depan
Titijaya berkata, cadangan pelupusan itu selaras dengan strateginya untuk menjana semula aset secara terpilih pada harga optimum bagi merealisasikan nilai aset serta mengitar semula modal untuk peluang pertumbuhan masa hadapan.
Pelupusan itu dijangka membolehkan Kumpulan merealisasikan nilai tunai kira-kira RM300 juta daripada hartanah berkenaan, dengan sebahagian hasil digunakan untuk menebus kemudahan pembiayaan yang dicagarkan ke atas aset tersebut.
Selain itu, transaksi berkenaan akan meningkatkan fleksibiliti kewangan Kumpulan serta menyediakan modal tambahan bagi pembangunan hartanah, pemerolehan tanah strategik dan peluang pertumbuhan lain.
Hasil tunai bersih selepas pembayaran jumlah penebusan kepada pembiaya sedia ada akan digunakan bagi modal kerja serta aktiviti pembangunan dan pelaburan Kumpulan pada masa hadapan.
Sementara menunggu penggunaannya, hasil bersih selepas pembayaran jumlah penebusan dan perbelanjaan transaksi boleh ditempatkan dalam deposit di institusi kewangan dan/atau instrumen pasaran wang jangka pendek. - DagangNews.com





