Pertumbuhan penjagaan kesihatan tingkatkan hasil TDM kepada RM258.2 juta pada 3QFY26

LocalBusiness & Finance
28 Oct 2026 • 6:10 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pertumbuhan penjagaan kesihatan tingkatkan hasil TDM kepada RM258.2 juta pada 3QFY26 Image from: Pertumbuhan penjagaan kesihatan tingkatkan hasil TDM kepada RM258.2 juta pada 3QFY26 liza28/10/2026 - 18:10 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR, 28 Okt – TDM Berhad mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 11% kepada RM258.24 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026 berbanding RM232.55 juta dalam tempoh sama tahun lalu, disokong pertumbuhan bahagian perladangan dan penjagaan kesihatan.

 

Prestasi lebih baik berkenaan didorong peningkatan hasil bahagian penjagaan kesihatan sebanyak 20% kepada RM116.92 juta manakala bahagian perladangan mencatatkan pertumbuhan 5% kepada RM141.32 juta.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM, Najman Kamaruddin berkata bahagian perladangan mendapat manfaat daripada peningkatan pengeluaran buah tandan segar (FFB) serta harga jualan yang lebih tinggi, sementara bahagian penjagaan kesihatan merekodkan pertumbuhan hasil susulan pertambahan jumlah pesakit dan peningkatan purata hasil bagi setiap pesakit dalam.

 

Bagi tempoh sembilan bulan pertama berakhir 30 September 2026, hasil kumpulan meningkat 19% kepada RM638.12 juta berbanding RM536.76 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Peningkatan itu disumbangkan oleh bahagian perladangan yang mencatatkan hasil RM330.64 juta, meningkat 21% daripada RM273.46 juta, manakala bahagian penjagaan kesihatan merekodkan pertumbuhan 17% kepada RM307.48 juta berbanding RM263.30 juta sebelumnya.

 

Dalam tempoh sama, pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) kumpulan meningkat 48% kepada RM107.90 juta daripada RM72.72 juta.

 

Menurut Najman, kumpulan akan terus memberikan tumpuan kepada peningkatan kecekapan operasi, pengurusan kos secara berdisiplin serta pertumbuhan mampan dalam perniagaan terasnya, di samping menangani perubahan keadaan pasaran dan cabaran industri.

 

Pengeluaran buah tandan segar sokong perladangan

Bahagian perladangan mencatatkan peningkatan hasil 5% kepada RM141.32 juta pada suku ketiga 2026, disokong pertumbuhan pengeluaran buah tandan segar sebanyak 13% serta kenaikan 5% dalam purata harga jualan minyak sawit mentah (CPO) dan isirung sawit.

 

EBITDA bahagian itu meningkat kepada RM45.63 juta berbanding RM38.19 juta dalam tempoh sama tahun lalu. Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2026, hasil bahagian perladangan meningkat 21% kepada RM330.64 juta daripada RM273.46 juta, manakala EBITDA naik kepada RM81.62 juta berbanding RM57.38 juta sebelumnya.

 

Tambahnya, pengeluaran buah tandan segar bagi tempoh berkenaan meningkat 19%, sekali gus menyumbang kepada pertambahan jumlah jualan minyak sawit mentah sebanyak 19% dan isirung sawit sebanyak 22%.

 

“Pada suku ketiga 2026, jumlah jualan minyak sawit mentah TDM meningkat 35% berbanding suku kedua tahun ini. Bagaimanapun, eksport minyak sawit Malaysia meningkat 4% secara suku ke suku tetapi merosot 7% tahun ke tahun kepada 3.80 juta tan metrik. Stok minyak sawit negara pula meningkat 38% berbanding suku sebelumnya kepada 3.51 juta tan metrik pada akhir September 2026,” katanya.

 

Harga purata minyak sawit mentah Malaysia bagi sembilan bulan pertama 2026 kekal pada RM4,451 satu tan metrik, meningkat 3% berbanding tempoh sama tahun lalu.

 

Bahagian penjagaan kesihatan rekod pertumbuhan hasil 20%

Bahagian penjagaan kesihatan TDM mencatatkan peningkatan hasil 20% kepada RM116.92 juta pada suku ketiga 2026 berbanding RM97.37 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Pertumbuhan itu disokong peningkatan 12% dalam jumlah pesakit dalam serta kenaikan 10% purata hasil bagi setiap pesakit dalam.

 

Bagaimanapun, EBITDA bahagian itu susut sedikit kepada RM13.55 juta berbanding RM13.63 juta setahun sebelumnya, yang menurut TDM sebahagian besarnya disebabkan tekanan kos seluruh industri dan pelaburan bagi meningkatkan kapasiti operasi.

 

Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2026, hasil bahagian penjagaan kesihatan meningkat 17% kepada RM307.48 juta daripada RM263.30 juta.

 

Peningkatan itu disokong kenaikan purata hasil bagi setiap pesakit dalam sebanyak 12%, pertambahan jumlah pesakit dalam sebanyak 8% dan peningkatan jumlah pesakit luar sebanyak 8%.

 

EBITDA bahagian itu meningkat 42% kepada RM39.98 juta daripada RM28.12 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

 

TDM berkata, KMI Healthcare terus mencatatkan prestasi yang baik, mencerminkan peningkatan kecekapan operasi dan manfaat daripada pelaksanaan inisiatif pengoptimuman kos.

 

Bagaimanapun, kumpulan itu terus memantau cabaran industri termasuk ketidaktentuan susulan konflik di Timur Tengah, peningkatan kos bekalan perubatan dan operasi serta tekanan harga daripada syarikat insurans dan pembayar korporat.. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved