Titijaya Land jual Penang Logistics Hub 5 kepada Pelaburan Hartanah Bhd pada harga RM300 juta

28 Oct 2026 • 6:24 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Titijaya Land jual Penang Logistics Hub 5 kepada Pelaburan Hartanah Bhd pada harga RM300 juta Image from: Titijaya Land jual Penang Logistics Hub 5 kepada Pelaburan Hartanah Bhd pada harga RM300 juta hamden28/10/2026 - 18:24 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 28 Okt - Titijaya Land Bhd menerusi anak syarikat milik penuhnya, Aman Duta Sdn Bhd (ADSB) dan City Meridian Development Sdn Bhd (CMD), memeterai perjanjian jual beli bersyarat dengan Pelaburan Hartanah Bhd (PHB) bagi melupuskan Penang Logistics Hub 5 di Bayan Lepas, Pulau Pinang pada harga kira-kira RM300 juta.

 

Titijaya dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, perjanjian berkenaan dimeterai pada 28 Oktober 2026 bagi pelupusan tanah pegangan pajakan berkeluasan kira-kira 28,562.8 meter persegi, bersamaan 7.06 ekar, bersama kompleks komersial logistik tiga tingkat yang dibina khas di atasnya.

 

Kompleks berkenaan mempunyai keluasan lantai kasar kira-kira 300,726 kaki persegi dan beralamat di No. 2, Persiaran Bayan Lepas, 11960 Bayan Lepas, Pulau Pinang.

 

Titijaya
Dari kiri,  Pengarah Eksekutif Titijaya Land, Charmaine Lim; Pengarah Urusan Kumpulan Titijaya Land, Datuk Lim Poh Yit; Pengarah Urusan Kumpulan Pelaburan Hartanah Berhad, Mazuki Abdullah @ Muhammad dan Ketua Bahagian Perundangan dan Kesetiausahaan Syarikat PHB, Ermira Faridah Mohd Said pada majlis menandatangani perjanjian jual beli bersyarat hartanah Penang Logistics Hub 5 di Bayan Lepas, Pulau Pinang.

 

Hartanah itu kini digunakan sebagai kemudahan logistik yang disewakan kepada DHL Properties (Malaysia) Sdn Bhd menerusi perjanjian penyewaan yang berakhir pada 14 Oktober 2034.

 

Tanah berkenaan mempunyai tempoh pegangan pajakan sehingga 2 April 2095, dengan baki tempoh kira-kira 68 tahun.

 

Modal untuk pertumbuhan masa depan

Titijaya berkata, cadangan pelupusan itu selaras dengan strateginya untuk menjana semula aset secara terpilih pada harga optimum bagi merealisasikan nilai aset serta mengitar semula modal untuk peluang pertumbuhan masa hadapan.

 

Pelupusan itu dijangka membolehkan Kumpulan merealisasikan nilai tunai kira-kira RM300 juta daripada hartanah berkenaan, dengan sebahagian hasil digunakan untuk menebus kemudahan pembiayaan yang dicagarkan ke atas aset tersebut.

 

Selain itu, transaksi berkenaan akan meningkatkan fleksibiliti kewangan Kumpulan serta menyediakan modal tambahan bagi pembangunan hartanah, pemerolehan tanah strategik dan peluang pertumbuhan lain.

 

Hasil tunai bersih selepas pembayaran jumlah penebusan kepada pembiaya sedia ada akan digunakan bagi modal kerja serta aktiviti pembangunan dan pelaburan Kumpulan pada masa hadapan.

 

Sementara menunggu penggunaannya, hasil bersih selepas pembayaran jumlah penebusan dan perbelanjaan transaksi boleh ditempatkan dalam deposit di institusi kewangan dan/atau instrumen pasaran wang jangka pendek. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved