sarah13/11/2026 - 11:59 Gambar hiasan, pekerja peruncitan Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 13 Nov - Iklan pekerjaan dalam sektor peruncitan dan produk pengguna di Malaysia melonjak 202.3% pada suku ketiga 2026 berbanding tempoh sama tahun lalu, namun jumlah permohonan hanya meningkat 43.5%, menunjukkan jurang ketara antara pertumbuhan peluang pekerjaan yang diiklankan dengan minat pemohon.
Menurut Jobstreet by SEEK Malaysia, keadaan sama turut berlaku dalam sektor kejuruteraan apabila iklan pekerjaan meningkat 58%, sedangkan permohonan hanya bertambah 12.6%, sekali gus menunjukkan cabaran yang perlu diberi perhatian majikan dalam menarik calon bersesuaian.
Secara keseluruhan, iklan pekerjaan bagi kategori yang dianalisis Jobstreet meningkat 42% tahun ke tahun, manakala jumlah permohonan bertambah 17%, menyebabkan purata permohonan bagi setiap iklan pekerjaan menyusut 17.6%.
Pengarah Urusan Jobstreet by SEEK Malaysia, Nicholas Lam berkata, perkembangan itu menunjukkan kepentingan majikan memberi perhatian bukan sahaja kepada peningkatan aktiviti pengambilan pekerja, tetapi juga keupayaan menarik calon yang mempunyai pengalaman dan kemahiran bersesuaian dengan keperluan jawatan.
Pulau Pinang dan Johor catat jurang permohonan
Di peringkat negeri, Pulau Pinang merekodkan pertumbuhan iklan pekerjaan sebanyak 69.5%, jauh mengatasi peningkatan permohonan sebanyak 8.5%, menjadikannya antara lokasi yang menunjukkan perbezaan ketara antara pertumbuhan iklan jawatan dan aktiviti permohonan.
Johor pula mencatat peningkatan iklan pekerjaan sebanyak 52.2%, berbanding pertumbuhan permohonan 19.8%, sekali gus memperlihatkan kepentingan faktor lokasi dalam strategi pengambilan pekerja serta keputusan pencari kerja memilih peluang pekerjaan.
Peluang pekerjaan peringkat permulaan meningkat
Dari segi tahap pengalaman, iklan pekerjaan peringkat permulaan mencatat pertumbuhan terpantas sebanyak 56.2%, diikuti jawatan peringkat pertengahan sebanyak 42.6% dan jawatan kanan 29.8%, berdasarkan iklan yang mempunyai pengelasan tahap pengalaman.
Jobstreet berkata, majikan perlu membezakan kemahiran yang benar-benar diperlukan ketika pengambilan pekerja dengan kemahiran yang boleh dibangunkan melalui latihan, selain mengiktiraf pengalaman berkaitan yang diperoleh calon daripada sektor atau jawatan lain.
Pendekatan itu berpotensi memperluas kumpulan calon yang sesuai, di samping membantu pekerja beralih kepada pekerjaan yang lebih sepadan dengan kemahiran mereka, manakala pencari kerja disaran menilai keperluan jawatan dan mengenal pasti kemahiran yang perlu dipertingkatkan.
Pengangguran kekal 3%
Sementara itu, berdasarkan Laporan Survei Tenaga Buruh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), guna tenaga negara meningkat 0.3% pada suku ketiga 2026 berbanding suku sebelumnya, manakala kadar pengangguran kekal 3%. Bagaimanapun, kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran dalam kalangan pekerja berpendidikan tertiari masih tinggi pada 35%, berbanding 35.2% pada suku kedua, menunjukkan cabaran penggunaan kemahiran secara optimum dalam pasaran pekerjaan.- DagangNews.com






