Pendapatan boleh agih CapitaLand Malaysia Trust melonjak 32% kepada RM46.3 juta, dipacu sektor logistik dan perindustrian

Business & FinanceProperty
21 Oct 2026 • 5:57 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pendapatan boleh agih CapitaLand Malaysia Trust melonjak 32% kepada RM46.3 juta, dipacu sektor logistik dan perindustrian Image from: Pendapatan boleh agih CapitaLand Malaysia Trust melonjak 32% kepada RM46.3 juta, dipacu sektor logistik dan perindustrian sarah21/10/2026 - 17:57 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 21 Okt - Pelaburan dalam hartanah logistik dan perindustrian mula memberi sumbangan lebih besar kepada CapitaLand Malaysia Trust (CLMT) apabila pendapatan boleh agihnya melonjak 32.2% kepada RM46.3 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026, berbanding RM35.1 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

 

Peningkatan itu turut menyaksikan pengagihan pendapatan seunit (DPU) berkembang 21.6% kepada 1.35 sen daripada 1.11 sen, manakala pendapatan kasar meningkat 9.1% kepada RM126.54 juta berbanding RM116.04 juta sebelumnya.

 

Menurut kenyataan pemakluman Bursa Malaysia, pendapatan hartanah bersih (NPI) meningkat 14.9% kepada RM79.4 juta daripada RM69.1 juta, terutamanya disumbangkan oleh hartanah perindustrian dan logistik yang diperoleh pada 2025 serta peningkatan sumbangan daripada kebanyakan aset sedia ada.

 

Ketua Pegawai Eksekutif CapitaLand Malaysia REIT Management Sdn Bhd, Yong Su-Lin berkata, prestasi itu dicapai dalam persekitaran makroekonomi yang mencabar, disokong permintaan terhadap portfolio hartanah kumpulan yang merangkumi sektor runcit, perindustrian dan logistik.

 

“Dalam persekitaran makroekonomi yang mencabar, CLMT terus mencatat prestasi stabil pada suku ketiga 2026, disokong permintaan yang sihat merentasi portfolio kami yang pelbagai. Portfolio runcit kami merekodkan peningkatan kadar sewa sebanyak 11.3%, manakala kadar penghunian kekal kukuh,” katanya.

 

Beliau berkata, pengembangan CLMT ke dalam sektor perindustrian dan logistik turut mempelbagaikan sumber pendapatan, dengan hartanah yang diperoleh pada 2025 mula menyumbang kepada prestasi kumpulan serta memperluas kehadirannya di hab perindustrian dan logistik utama.

 

Setakat 30 September 2026, kadar penghunian hartanah runcit CLMT kekal pada 93.1%, manakala kadar penghunian keseluruhan portfolio termasuk aset perindustrian dan logistik mencapai 94.3%. Jumlah pengunjung pusat beli-belah meningkat 7% tahun ke tahun, sementara jualan penyewa bagi setiap kaki persegi bertambah 0.6%.

 

Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2026, pendapatan boleh agih CLMT meningkat 26.7% kepada RM135.51 juta berbanding RM106.92 juta, manakala pendapatan kasar berkembang 7.1% kepada RM376.98 juta dan NPI meningkat 14.1% kepada RM237.18 juta.

 

Dari segi kedudukan kewangan, CLMT mencatat nisbah hutang kepada aset sebanyak 38.3% dengan purata kos pinjaman 4.17%, manakala 75% daripada jumlah pinjamannya menggunakan kadar faedah tetap. Setakat akhir September, portfolio amanah pelaburan hartanah (REIT) itu merangkumi enam hartanah runcit dan sembilan hartanah perindustrian serta logistik, dengan jumlah aset bernilai kira-kira RM5.6 bilion. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved